suria

Dulu ibu terlanjur, kini anak pula

Penulis (kiri) bersama seorang penghuni rumah perlindungan wanita di Shah Alam, yang mahu dikenali sebagai Afra. Foto Sinar Harian

KUNJUNGAN penulis ke sebuah rumah perlindungan wanita di Shah Alam, baru-baru ini menemukan penulis dengan seorang penghuni yang masih remaja, mahu dikenali sebagai Afra.

Afra seorang gadis yang terlanjur sehingga melahirkan anak atas kesilapan sendiri yang hanyut dalam percintaan bersama bekas teman lelaki yang mengambil kesempatan atas kepercayaan Afra terhadapnya.

Berkongsi sejarah hitamnya kepada penulis, Afra yang kini baru menginjak ke usia 18 tahun pada 1 Julai lalu, menceritakan sejarah hitamnya bermula pada usianya 16 tahun iaitu ketika masih bersekolah.

Perhijrahan ke Terengganu bersama ibu dan bersekolah di sana, menjerat dirinya yang sebelum ini menjaga maruah diri dan keluarga, apabila berkenalan dengan seorang lelaki yang ketika itu berumur 23 tahun sehingga membawanya hanyut dan terlanjur beberapa kali.

"Pada awalnya, memang Afra pergi sekolah sendiri kerana ibu, nenek dan atuk semua sibuk kerja. Jadi, lelaki tersebut yang Afra baru kenal mempelawa Afra untuk hantar dan jemput dari sekolah.

"Setelah lama berkenalan, kami mula melakukan hubungan seksual dan beberapa kali terlanjur sejak usia Afra 16 tahun. Mula-mula memang takut, tetapi lama kelamaan seperti jadi ketagihan.

"Pun begitu, kami melakukan hubungan yang selamat, dengan melakukan pencegahan daripada boleh mengandung," kongsi Afra kepada penulis.

Bertanya penulis mengenai hal ketelanjurannya bersama kekasih, sama ada diketahui oleh ibunya, Afra berkata, pada awalnya ibunya memang tidak mengetahui akan hal tersebut.

"Namun tragedi yang lebih teruk telah berlaku, ketika Afra kembali semula bersekolah di Kuala Lumpur. Dia (lelaki itu) ajak jumpa dan pada sambutan hari lahir Affa pada Julai tahun lalu, kami melakukan hubungan tanpa ada perlindungan.

"Dia kata itu sebagai hadiah hari lahir Afra. Ketika itu, Afra sangat kecewa. Tidak ada hadiah lain ke? kenapa mesti 'lepaskan' di dalam rahim Afra sehingga mengandung," ceritanya dengan mata mula berkaca.

Sejak kejadian itu, dan kerisauan apabila tahu diri mengandung, Afra dan bekas kekasihnya mencuba pelbagai cara untuk menggugurkan kandungan tersebut.

"Afra cuba minum air berkarbonat, makan nanas muda, dan ubat yang dia beli, tapi semua tu tidak berhasil. Kandungan saya semakin hari semakin membesar.

"Apabila kandungan telah berusia lima bulan, Afra tak dapat sorok lagi perut daripada keluarga. Afra dan kekasih beranikan diri mengaku di hadapan keluarga yang kami terlanjur dan Afra telah mengandung.

"Reaksi ibu, memang marah, tetapi tidak terlalu terkejut dengan berita itu, kerana ketika itu juga, ibu beritahu yang dia juga adalah anak hasil ketelanjuran dengan ayahnya ketika belum berkahwin," cerita Afra.

Mahu besarkan anak sendiri

Mendengar pengakuan ibunya itu, Afra bertambah sedih dan lebih kecewa apabila dia mengikut jejak kesilapan yang ibunya lakukan iaitu lahirkan Afra hasil ketelanjuran seperti apa yang Afra hadapi ketika itu.

Seminggu selepas meluahkan ketelanjuran itu, ibu dan nenek menyarankan untuk Afra dihantar ke rumah perlindungan tersebut agar mengelak daripada saudara lain mendapat tahu kejadian memalukan itu.

"Memang sedih apabila dihantar ke sini, kerana Afra tidak pernah berjauhan dengan keluarga. Tambahan sedang hamil lima bulan, Afra rasakan tidak akan ada siapa ambil peduli dengan Afra nanti.

"Namun, itu yang terbaik untuk Afra dan berlindung daripada orang luar apabila melihat perut semakin besar. Di sini Afra dapat ramai sahabat yang sama nasib dengan Afra, serta diberi sokongan spiritual agar bertaubat dan lebih terdidik.

"Akhirnya, Afra selamat melahirkan anak lelaki yang comel dengan mudah pada tiga bulan lalu dengan bantuan rumah perlindungan ini. Perasaan sayang memang ada dalam diri Afra apabila lahir sahaja anak ini," kongsinya lagi.

Sejak itu, dia berhasrat untuk membesarkan sendiri anaknya dengan bantuan keluarga apabila keluar daripada rumah tersebut dan menjalankan kehidupan dengan lebih baik.

"Afra tidak mahu, anak Afra juga mengikut jejak Afra yang salah dahulu. Afra mahu didik dia dengan sebaiknya," ujarnya mengakhiri perbualan. - Sinar Harian

Artikel Lain