suria

'Pegawai akhbar' Syed Saddiq letak jawatan, dakwa disabotaj

Numan Afifi Saadan.

PETALING JAYA: Aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Numan Afifi Saadan mempertahankan kenyataan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung isu lantikan pegawai khas di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Akui Numan, belum ada lantikan pegawai khas secara rasmi di pejabat menteri berkenaan setakat ini.

Sebaliknya dia menjelaskan selama ini hanya membantu Ahli Parlimen Muar yang juga sahabatnya sebagai pegawai akhbar sementara.

"Saya berhasrat untuk mengulangi dan menegaskan kenyataan YB Menteri, setakat ini belum ada sebarang perlantikan rasmi di pejabat menteri.

"Saya telah mengambil keputusan untuk hanya menolong sahabat saya, saudara Syed Saddiq sebagai pegawai akhbar sementara.

"Saya akan menyerahkan tugas untuk menguruskan akhbar dan media kepada setiausaha akhbar baharu yang akan dilantik secara rasmi dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Baru-baru ini, Syed Saddiq dilanda kontroversi apabila menafikan telah melantik Numan yang juga seorang pejuang LBGT sebagai pegawai khas di pejabatnya.

Pemimpin politik berusia 25 tahun itu didakwa tidak bercakap benar selepas mengeluarkan kenyataan di akaun Facebook miliknya dengan menafikan khabar angin tersebut.

Bagaimanapun, kenyataan Syed Saddiq didapati bercanggah selepas netizen memuat naik screenshot carian direktori kakita­ngan KBS yang memaparkan nama Numan sebagai pegawai tugas-tugas khas di Pejabat Menteri Belia dan Sukan.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mengenai isu namanya yang tertera di laman web KBS, Numan berkata dia dimaklumkan terdapat unsur sabotaj dan siasatan sedang dijalankan.

"Saya difahamkan oleh YB Menteri tindakan tegas akan diambil ke atas pesalah," katanya.

Susulan kecam dan ancaman yang diterimanya, Numan berkata dia mengambil keputusan untuk meletak jawatan di kementerian itu.

"Kecaman dan ancaman yang hebat oleh ejen propaganda pembangkang telah menyebabkan mustahil untuk saya menjalankan amanah yang diberikan,
justeru saya mengambil keputusan untuk tidak bertugas secara rasmi di kementerian. Saya akan ke luar negara dalam masa terdekat untuk menentukan apa hala tuju saya selepas ini.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada saudara Syed Saddiq atas peluang dan tunjuk ajar yang diberi sepanjang kempen pilihan raya di Muar dan fasa transisi di kementerian. Ia adalah satu penghormatan untuk berkhidmat untuk beliau," katanya.

Jelas Numan, Syed Saddiq turut menghormati peletakan jawatannya.

"Syed Saddiq menghormati keputusan saya ini dan bertegas menolak sebarang bentuk diskriminasi, justeru saya juga memohon supaya tidak dipanjang-panjangkan lagi polemik ini.

"Saya rasa terharu dan sangat menghargai sokongan bertalu-talu oleh masyarakat, sahabat handai dan keluarga. Mudah-mudahan kita dapat hidup bermasyarakat di Malaysia yang meraikan kepelbagaian tanpa prejudis," katanya.

Numan merupakan presiden Kempen Pelangi yang menjadi tumpuan media kerana menganjurkan program “Iftar Gay” pada Jun 2017.

Program buka puasa itu dikecam ramai pihak termasuk pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz yang mendakwa penganjur mempermainkan hukum Allah.

Numan Afifi Saadan, Syed Saddiq

Artikel Berikut

Artikel Lain