suria

Tiada permohonan tuntut barang kemas dari Rosmah - KPN

KUALA LUMPUR: Polis tidak menerima permohonan daripada isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk menuntut barang kemas bernilai ratusan juta yang dirampas Mei lepas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata jika Rosmah ingin berbuat demikian, beliau harus mengikut undang-undang dan ada caranya untuk memohon.

“Perkara ini bukannya mudah kerana ia mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-83 Perwakilan Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) pada Selasa.

Beliau  mengulas tindakan sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan memfailkan saman terhadap Rosmah di Mahkamah  Tinggi di sini, bulan lepas.

Syarikat itu menuntut supaya isteri bekas perdana menteri memulangkan kembali 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar barang kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta (RM59.831 juta).

Sementara itu, Mohamad Fuzi  berkata polis akan membuktikan apa yang didakwa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tentang serbuan yang dilakukan di beberapa premis milik beliau dan anaknya sebagai tidak memenuhi Prosedur  Operasi Standard (SOP).

“Itu hanya sekadar dakwaannya sahaja, macam-macam dia boleh cakap. Biar (Najib) nak cakap apapun, kita kena ikut proses undang-undang,” katanya.- Bernama

Rosmah, barang kemas

Artikel Lain