PETALING JAYA: Datin Paduka Marina Mahathir mengucapkan selamat hari lahir kepada bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi catatan di Facebooknya ketika perdana menteri itu meraikan ulang tahun ke-93 hari ini. "Selamat ulang tahun ke-93 untuk ayahku sayang. "Tiada siapa tahu apa yang diperlukan untuk kembali semula ke dalam arena politik, pergi ke sana dan berjuang, kemudian bekerja keras menyelamatkan Malaysia yang kita cintai. "Saya amat bangga dengan banyak perkara yang anda capai tetapi tiada apa yang membuatkan saya lebih bangga daripada melihat anda masih sedia mendengar dan belajar dari rakan-rakan baharu anda," tulis Marina di Facebooknya. Ucapan Selamat Hari Lahir ditulis Marina kepada bapanya. - foto Facebook Marina Mahathir. Marina turut menulis ucapan tersebut berserta dengan hastag #puttingusalltoshame dan #hopeiinheritedthesame yang menggambarkan mengenai stamina Dr Mahathir meskipun sudah mencecah usia 93 tahun. Malah, anak perempuan Dr Mahathir turut tidak mengetahui rahsia bapanya itu kekal cergas seperti hari ini apabila menulis hastag "#idontknowwherehisenergycomesfrom". Walaupun Dr Mahathir menolak khabar angin bahawa beliau menjalani terapi stem cell, beliau menegaskan betapa pentingnya mengamalkan gaya hidup aktif sekalipun selepas masuk usia persaraan. “Memang, saya lebih suka berehat, tapi saya ingin menasihat orang ramai agar tidak berehat bila mereka lanjut usia,” kata beliau ketika ditanya semasa lawatannya baru-baru ini ke Tokyo tentang bagaimanpun beliau boleh terus sihat. Dr Mahathir, yang punya keistimewaan menjadi perdana menteri paling tua di dunia, menjelaskan bahawa otot-otot akan merosot jika tidak digunakan. “Jika anda berbaring sepanjang masa, otot (akhirnya) tidak berdaya mengangkat berat badan anda, anda tidak boleh berdiri, tidak boleh berjalan. Jadi, tidak elok bila anda tua, anda berbaring dan tidak melakukan apa-apa," katanya.