suria

Video panjat bot tular bukan perompak, penyamun!

PETALING JAYA: Tiada siapa dapat menyangkal keindahan Pulau Semporna yang memiliki kejernihan air laut bak kristal hingga mampu membuatkan sesiapa sahaja yang melihatnya terpukau.

Pulau tersebut dihuni suku Bajau Laut yang hidup secara nomad di atas sampan dan telah menjadi sebahagian daripada identiti pulau yang digelar 'Segi Tiga Terumbu Karang' itu.

Namun, imej Pulau Semporna tercalar selepas video berdurasi 50 saat yang menunjukkan beberapa kaum Bajau Laut memanjat bot pelancong tular sejak beberapa hari lalu.

Melalui video tersebut, kelihatan beberapa wanita dan kanak-kanak Bajau Laut memanjat bot berkenaan untuk merebut makanan yang dibawa penumpang.

Selepas video tersebut tular dan mendapat kecaman teruk daripada netizen, pemilik sebenar rakaman itu tampil menjelaskan keadaan sebenar.

Ejen pelancongan bebas, Amirah Amir Hamzah, 24, berkata, dia berharap tiada pihak yang membuat andaian sendiri tanpa mengetahui tentang budaya masyarakat Bajau Laut dan situasi sebenar yang berlaku ketika video tersebut dirakamkan.

Amirah yang enggan netizen salah faham dengan perkara itu menegaskan melalui sebuah posting di Facebook bahawa mereka yang terdapat dalam video tersebut bukan perompak, penyamun atau lanun.

Penjelasan tentang keadaan sebenar yang dimuat naik oleh Amirah ke laman Facebook Pakej Pulau Semporna pada Isnin.

"Sebelum semalam (Isnin), saya tidak pernah muat naik video itu di mana-mana laman sosial kecuali berkongsi rakaman itu dengan dua individu lain.

"Tidak pasti siapa yang sebarkan video itu dan ada pula pihak yang memuat naik ke Facebook dengan penerangan berbaur negatif," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Kata wanita yang berasal dari Pulau Semporna itu, dia enggan mengulas lanjut mengenai netizen yang tidak bersetuju dengan tindakan memasukkan aktiviti memberi makanan kepada penduduk Bajau Laut dalam pakej percutian yang ditawarkannya.

Bagi Amirah, mereka yang tidak memahami budaya suku Bajau Laut yang masih hidup mengamalkan sistem barter untuk mendapatkan sesuatu pasti sukar untuk menerima situasi berkenaan.

Jelasnya, kadangkala penduduk Bajau Laut tersebut akan menggunakan barangan yang diberikan oleh pelancong untuk bertukar sesama mereka.

"Saya tidak tahu nak komen macam mana. Mereka memang begitu kalau diberi makanan, akan berebut-rebut.

"Tapi kalau tidak beri pun, mereka okay sahaja. Air laut pun tidak kotor, tidak nampak pula mereka buang sampah merata-rata. Setakat ini tiada lagi pelancong yang cedera bila mengalami kejadian ini," katanya.

Dalam pada itu, ejen pelancongan tersebut memberitahu bahawa dia akan membuat laporan polis berhubung penularan video berkenaan kerana khuatir jika ada pihak yang membuat ugutan terhadapnya.

Bajau Laut

Artikel Sebelum

Artikel Lain