SIBU: Sebuah kedai dobi layan diri 24 jam di Lorong Lanang 2 di sini mengalami kebakaran kecil dipercayai akibat perbuatan khianat awal pagi Rabu. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata mereka menemui dua botol yang mengandungi minyak petrol ketika tiba di lokasi kejadian selepas dimaklumkan mengenai kebakaran tersebut pada 6.17 pagi. Menurutnya jurucakap itu, botol tersebut dipercayai dibaling ke arah kedai dobi dan ditemukan di depan pintu masuk kedai tersebut. Pasukan bomba hanya membuat pemadaman di luar menggunakan salur bantu mula dengankerosakan akibat kebakaran itu hanya pada tahap lima peratus, katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikan kes sebagai perbuatan khianat menggunakan api di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan.Beliau berkata pihaknya sedang menyiasat motif kejadian dan mengesan pihak yang terlibat. - Bernama