suria

Firma barang kemas: 'Rosmah pelanggan lama'

PETALING JAYA: Pembekal barang kemas mewah antarabangsa yang mempunyai senarai pelanggan eksklusif, mendakwa Datin Seri Rosmah Mansor sebagai pelanggan "lama" mereka.

Namun Global Royalty Trading SAL, sebuah frima barang kemas yang berpangkalan di Beirut, Lubnan, kini memfailkan saman terhadap Rosmah atas penghantaran 44 item kepadanya pada Februari lalu, sebelum dirampas polis baru-baru ini.

Firma itu menuntut perintah mandatori terhadap 44 barang kemas berjumlah AS$14,787,770 (RM59, 831, 317.40) untuk dikembalikan.

Pemeriksaan di Internet mendapati Global Royalty adalah tukang emas antarabangsa terkemuka yang membekalkan barang kemas kepada keluarga diraja dan pelanggan kaya di seluruh dunia.

Global Royalty mendakwa seperti pada tahun-tahun sebelumnya, firma itu akan menghantar barangan kemas kepada Rosmah mengikut permintaannya untuk dinilai dan dibeli serta dibayar olehnya atau oleh pihak ketiga.

Syarikat itu mendakwa ada kalanya, Rosmah akan meminjam barang kemas itu, dan dia atau ejennya akan menerima barangan berkenaan di Kuala Lumpur, Singapura atau Dubai.

Firma itu mendakwa bahawa memorandum penyerahan akan mengiringi hantaran barangan kemas yang menerangkan terma dan syarat.

Global Royalty, menerusi memorandum bernombor 926 bertarikh 10 Februari lalu, telah menghantar 44 unit barangan kemas, termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, setiap satu bernilai antara AS$124,000 dan AS$925,000.

Firma itu berkata barangan kemas yang tidak dipilih akan dipulangkan.

Global Royalty Trading SAL dilaporkan telah memfailkan saman terhadap isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu melalui firma Tetuan David Gurupatham dan Koay.

Dalam pernyataan tuntutannya, firma itu mendakwa Rosmah yang juga pelanggan lamanya memaklumkan menerusi surat bertarikh 22 Mei telah menerima barangan kemas itu.

Pada Mei lalu, polis menyerbu dan merampas wang tunai dan barangan kemas dari dua unit kondominium mewah yang dikaitkan dengan Najib di Pavilion Residences di Kuala Lumpur.

Pada 4 Julai lalu, bekas perdana menteri itu mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan dana yang melibatkan SRC International.

Rosmah Mansor, barang kemas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain