suria

31 pelajar MRSM Taiping keracunan makanan akibat hidangan asrama

Sebahagian pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping membawa beg masing-masing setelah pihak MRSM mengarahkan pelajar pulang ke rumah berikutan lebih 20 pelajar keracunan makanan sejak Rabu. - Bernama

TAIPING: Seramai 31 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini yang mengalami keracunan makanan mendapatkan rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Taiping dan Hospital Taiping pada Khamis.

Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Perak (Kesihatan Awam), Dr K.B Venugopalan berkata seorang daripada pelajar MRSM itu dimasukkan ke dalam wad tetapi dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kesemua pelajar itu yang berumur antara 16 dan 17 tahun mengalami gejala seperti muntah, sakit perut dan cirit-birit setelah dipercayai memakan hidangan yang disediakan di dewan makan asrama sekolah berkenaan, pada Rabu.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, dewan makan sekolah berkenaan telah diarah untuk ditutup bagi siasatan lanjut.

"Siasatan dan kawalan masih diteruskan. Hanya dewan makan ditutup dan bukannya sekolah. Penutupan dewan makan ini biasanya akan mengambil masa antara satu hingga dua hari.

"Bagaimanapun, terlalu awal untuk mengenal pasti punca kejadian disebabkan siasatan masih belum tamat," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis. - Bernama


keracunan makanan

Artikel Sebelum

KJ kritik Umno ‘kaw kaw’

Artikel Lain