suria

Gadis berhijab timbang bola curi tumpuan

Kehebatan seorang gadis menimbang bola dengan memakai jubah dan berhijab baru-baru ini menarik perhatian netizen dan kini video aksinya menjadi tular di laman sosial facebook. Foto Bernama

PETALING JAYA: Gerakan bola sepak gaya bebas atau free style football yang dilakukan seorang gadis warga Malaysia beragama Islam menjadi perhatian di negara yang mana sukan tersebut didominasi lelaki.

Berhijab semasa beraksi, Qhouirunnisa' Endang Wahyudi menimbang bola begitu bersahaja.

"Memakai tudung bukan halangan," kata pelajar berusia 18 tahun itu kepada AFP di Klang.

"Ianya normal. Hanya tahu bagaimana anda mengendalikannya," katanya.

Qhouirunnisa' menunjukan kemahiran menimbang bola. Foto Bernama

Dalam gerakan gaya bebas untuk bola sepak, pemain menggunakan semua bahagian badan termasuk aksi akrobatik menggunakan bola.

Lebih 60 peratus daripada 32 juta penduduk Malaysia adalah beragama Islam.

Kebanyakan wanita Islam di negara ini memakai tudung dan berpakaian longgar, sejajar dengan keperluan menutup aurat.

Qhouirunnisa' berkata, Islam tidak menghalang wanita daripada bermain sukan.

Remaja itu mula bermain free style football pada 2016, berlatih dan mempelajari teknik menerusi video di YouTube.

"Dengan gaya bebas, anda boleh bebas selagi anda tidak menunjuk (badan anda)," kata Qhouirunnisa' sambil menambah bahawa dia mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga. 

"Kebanyakan mereka yang bermain free style football di Malaysia adalah lelaki," kata Qhouirunnisa.

Berhijab bukan halangan untuk Qhouirunnisa' aktif bersukan. Foto Bernama

Bagaimanapun katanya, gadis di negara ini mula menunjukkan minat dalam sukan tersebut.

Dia berlatih antara empat hingga lima hari seminggu, menimbang dan menendang bola sehingga tiga jam bagi setiap sesi.

Aksi gaya bebasnya meraih perhatian netizen, dengan akaun Instagramnya mencatatkan lebih 72,000 pengikut.

Qhouirunnisa' berharap suatu hari nanti dapat bertemu dengan pemain dari Perancis, Lisa Zimouche yang menjadi inspirasinya dalam sukan itu.

"Menjadi wanita bukan satu halangan. Anda boleh aktif bersukan," katanya. - AFP

Artikel Berikut

Artikel Lain