suria

Annuar Musa ganti Ku Nan, bekas peguam negara dilantik ahli MT Umno

PETALING JAYA: Jawatan setiausaha agung Umno kini disandang Tan Sri Annuar Musa, menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang kini mengisi kerusi bendahari parti itu.

Selain itu, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dilantik sebagai ketua penerangan, manakala Datuk Mohd Sumali Reduan kini sebagai setiausaha kerja.

Turut tersenarai 11 individu yang dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno adalah bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Senarai itu juga menyaksikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Perlis; Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Selangor); Datuk Ser Ab Rauf Yusoh (Melaka); Datuk Seri Mahdzir Khalid (Terengganu); Datuk Seri Mohamad Hasan (Negeri Sembilan); Datuk Ir Hasni Mohammad (Johor); Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Kelantan) dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengetuai kepimpinan Umno Pahang.

Senarai ahli MT lantikan dan pengerusi badan perhubungan negeri itu diumumkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Sabtu.

"Lantikan ini adalah langkah pertama Umno menuju pembaharuan supaya parti terus relevan dalam pentas politik negara," katanya ketika mengumumkan lantikan mengikut Fasal 9.2.9 Perlembagaan Umno dan Pengerusi Perhubungan Umno negeri menerusi kenyataan pada Sabtu.

Menurut Ahmad Zahid, selesainya pemilihan parti baru-baru ini telah memperlihatkan Umno kini lebih terbuka dan demokratik.

"Keterbukaan pemilihan ini mencatatkan sejarah pemilihan Umno sejak 1987 dan memaparkan parti yang lebih inklusif untuk semua," katanya.
Umno, Annuar Musa, Apandi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain