suria

Putus tangan tersepit rim motosikal, pelajar sedia dibantu

Dr Dzulkefly (tengah) melawat kanak-kanak yang putus tangan kiri Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, ketika melakukan lawatan kerja di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Ahad. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad sedia membantu Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, tujuh tahun, yang terputus  lengannya dari paras bahu akibat kemalangan, untuk meneruskan rawatan dan kehidupan.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak putus tangan tersepit rim motosikal

Dr Ahmad Samsuri berkata, beliau sedia mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan Nur Zulaikha Khumaira sebagai anak angkat Kerajaan Negeri demi memastikan masa hadapannya terbela dan perkara itu akan dibincangkan pada Mesyuarat Mingguan Exco Terengganu yang terdekat ini.

"Selain itu, Kerajaan Negeri akan memantau bentuk keperluan yang sesuai diberikan kepada Khumaira serta keluarganya terutama dalam aspek pendidikan dan buat masa ini kita bersetuju untuk menaja kos rawatan Khumaira bagi mendapatkan tangan palsu.

"Tiada siapa yang mahukan tragedi seperti ini berlaku, namun kita reda dengan ujian ini… saya difahamkan beliau boleh menggunakan tangan palsu, sudah tentu memerlukan latihan untuk membiasakan diri dan kita berdoa agar Khumaira terus tabah dalam meneruskan kehidupan," katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak malang itu di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, Ahad.

Sementara itu, ibu Nur Zulaikha Khumaira, Rohidayu Siup@Yusof, 29, berkata, mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Ahmad Samsuri dan Dr Dzulkefly yang sudi meluangkan masa menziarahi anaknya itu.

"Dalam kesibukan beliau menjalankan tugas sebagai pemimpin utama negeri, masih sempat datang ke sini bertanyakan khabar anak saya dan kami sekeluarga sangat menghargai kesediaan Kerajaan Negeri untuk menaja tangan palsu Khumaira," katanya.

Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad yang sempat melawat kanak-kanak itu pada pagi Ahad ketika lawatan rasmi ke HSNZ berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi membantu Nur Zulaikha Khumaira.

Semasa kejadian Khamis lepas, murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Tasek, Marang itu terputus lengan kirinya hingga paras bahu akibat tersepit di rim motosikal dalam kemalangan di Kampung Binjai Bongkok, Marang.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu juga menyebabkan Nur Khumaira mengalami kecedera­an pada tengkuk dan tumit kaki sebelah kanan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila baju sejuk bersaiz orang dewasa (milik ibunya) yang dipakai Khumaira tersangkut di rim motosikal yang ditunggang oleh sepupunya sebelum mangsa terjatuh dan tangan kirinya tersepit di rim berkenaan. - Bernama

Nur Zulaikha Khumaira

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan