suria

Kelibat misteri di Parlimen gemparkan netizen

PETALING JAYA: Hari kedua persidangan Parlimen mendapat perhatian Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Mohd Ali Hamsa apabila memuat naik foto majlis angkat sumpah senator menerusi laman Twitter miliknya.

Namun, foto berkenaan menimbulkan persoalan apabila netizen rata-rata menumpukan kepada kelibat individu misteri.

Selepas netizen berteka-teki dan memberi komen, akhirnya pegawai media KSN tampil mengeluarkan kenyataan ringkas berhubung perkara itu.

Terjawab persoalan netizen apabila disahkan individu tersebut adalah tetamu kepada P. Waytha Moorthy, pengerusi Hindraf yang dilantik sebagai senator dan hadir pada majlis angkat sumpah yang berlangsung di Bangunan Parlimen, pagi Selasa.

Ia sekaligus menghapuskan tanggapan netizen yang menyangka ia merupakan entiti misteri yang secara tidak sengaja dirakam menerusi foto berkenaan.

Tetamu Senator P. Waytha Moorthy yang disangka sebagai kelibat misteri di Parlimen.

Menerusi tweet itu, Ali Hamsa mengucapakan tahniah kepada senator yang baru mengangkat sumpah.

Namun, foto yang mengiringi tweet tersebut mula menjadi perdebatan netizen yang meminta penjelasan mengenai identiti individu berkenaan.

"Mohon penjelasan Tan Sri siapakah atau apakah yang terdapat dalam gambar tersebut," tulis @NormIntel.

"Gambar pertama dan kedua tu macam ada sesuatu yang tak kena," tulis seorang lagi pengguna Twitter.

Sehingga kini posting berkenaan mendapat 152 ulang kicau (Retweet) dan menerima 178 tanda suka.

Namun, terdapat beberapa pengguna turut mencelah bagi memperjelaskan situasi sebenar foto tersebut setelah ia mula dipersoalkan netizen.

Foto dari Twitter Ali Hamsa yang menimbulkan perdebatan netizen sejak ia dimuat naik pada petang Selasa.

"Itu adalah tetamu YB Senator. Kedudukan tu memang ada dua kerusi kat situ, angle jurugambar membuatkan seperti dua orang duduk atas satu kerusi," tulis @EnchekBaien.

"Bukan penampakan lah, dia memang manusia. I served him tadi," tulis seorang individu yang dipercayai petugas Parlimen.

Dalam sidang yang berlangsung di Dewan Parlimen pada pagi Selasa, Waytha Moorthy bersama tujuh lagi individu mengangkat sumpah sebagai senator atas lantikan Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua mereka dilantik untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa hari ini bagi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14.

Parlimen, Senator

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain