JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang wanita rakyat Vietnam dipercayai membakar rumah rakan lelakinya di Taman Soga dekat Batu Pahat, pada Selasa. Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata wanita berumur 30-an itu dipercayai bertindak demikian kerana marah kepada rakannya itu, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. "Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan kebakaran rumah terbabit pada 1.48 tengah hari. "Sejurus tiba, bomba dimaklumkan oleh penghuni rumah bersebelahan bahawa seorang wanita berada di rumah itu dan bomba berjaya menyelamatkannya," katanya menerusi kenyataan malam Selasa. Abdul Wahib berkata kebakaran kemudian berjaya dipadamkan dan siasatan terhadap wanita itu mendedahkan dia mengaku bertindak membakar rumah tersebut lalu meminta dihantar ke balai polis. Beliau berkata wanita berkenaan didapati bekerja di Kuala Lumpur dan datang ke Batu Pahat pada Selasa, untuk tinggal di rumah rakan lelakinya itu. "Siasatan awal mendapati dia bertindak membakar tilam di ruang tamu rumah tersebut kerana marah kepada rakannya. Rakannya pula masih dikesan untuk dirakam keterangannya," katanya. Katanya siasatan pihak bomba mendapati kebakaran sebanyak 80 peratus itu bermula dari tilam di ruang tamu rumah tersebut berdasarkan besi katil yang telah bengkok akibat terlalu lama terdedah kepada api. Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah. - Bernama