suria

Bayi cedera parah di kepala, wanita ditahan

TANGKAK: Polis menahan seorang wanita berusia 35 tahun bagi membantu siasatan kes seorang bayi berusia 10 bulan mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian tiga hari lepas, di sini.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohad Idris Samsuri berkata wanita itu yang ditahan malam tadi kini direman empat hari bermula hari ini.

“Kes ini masih dalam siasatan bagi mengenal pasti kemungkinan mangsa didera oleh pengasuh,” katanya ketika dihubungi Bernama, Khamis.

Mengulas kes itu, beliau berkata pada Selasa lalu, bayi tersebut dihantar ke Hospital Tangkak oleh pengasuhnya selepas mendapati mangsa mengalami sawan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam lama dan baharu pada dahi kiri bayi selain pendarahan pada bahagian mata dan keretakan tempurung kepala,” katanya.

Beliau berkata bayi itu kini dirawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar dan kes disiasat  menurut  Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.- Bernama

Bayi, dera, pengasuh

Artikel Lain