suria

PRK Sungai Kandis: Pengetua Maahad Tahfiz calon PKR

Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

SHAH ALAM: Pengetua Maahad Tahfiz, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, dipilih sebagai calon PKR untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 4 Ogos ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan perkara itu pada majlis pelancaran jentera PKR bagi PRK tersebut di Padang Rakyat Kampung Jalan Kebun, di sini, Jumaat malam.

Wan Azizah, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pemilihan pengetua Tahfiz Maahad Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun itu, yang juga Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR Pusat, diharap akan dapat mengekalkan kemenangan PKR di DUN itu.

"Saya tahu ramai rasa mereka layak dan boleh menang tetapi satu sahaja yang kita dapat letak sebagai calon PKR...kita nak kekalkan kemenangan PKR di DUN Sungai Kandis.

"Oleh itu saya mohon kita bekerjasama, tidak kira dipilih atau tidak (sebagai calon) bekerjalah untuk pastikan kemenangan PKR dan Pakatan Harapan demi memperkukuh Selangor," katanya.

Seramai 51,217 pengundi berdaftar dijangka keluar mengundi pada PRK berkenaan yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Mat Shuhaimi Shafiei pada 2 Julai lepas akibat kanser limfoma.

Penamaan calon ditetapkan Sabtu ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas, Shuhaimi, yang mewakili PKR, mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi untuk mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76). 

Terdahulu, Dr Wan Azizah menyerahkan watikah kepada Mohd Zawawi sebagai calon PKR selain turut melancarkan jentera  PRK parti itu.

Sementara itu, Mohd Zawawi, 47, memberitahu pemberita, pembelaan nasib rakyat ke arah lebih baik merupakan antara perkara yang akan ditekankan sepanjang tempoh berkempen.

Ini kerana, beliau berkata DUN Sungai Kandis terbahagi kepada banyak kawasan kampung dan pendekatan sedemikian dilihat wajar untuk disantuni terutama dalam isu tempatan seperti sampah, perparitan dan lampu jalan.

Katanya, walaupun aura kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan masih kuat selepas PRU14, beliau yakin isu yang diperjuangkannya mampu menarik undi kerana ia amat didambakan oleh rakyat di kawasan tersebut.

"Saya akan cuba laksanakan apa yang telah kami (PKR) rancang dulu iaitu untuk bela rakyat terutamanya golongan miskin sebab DUN Sungai Kandis banyak kawasan kampung.

"Selain itu, kita (jentera) akan meneruskan sahaja apa yang telah dilaksanakan dan perancangan oleh arwah Mat Shuhaimi  sebelum ini," katanya menambah tidak menjangka terpilih sebagai calon pada PRK berkenaan.

Mohd Zawawi, dalam pada itu, turut berterima kasih kepada kepimpinan tertinggi parti yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk bertanding pada PRK tersebut. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain