suria

Laporan penuh siasatan MH370 30 Julai

PUTRAJAYA: Laporan penuh siasatan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 akan dibentangkan kepada keluarga mangsa pada satu pertemuan tertutup 30 Julai ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, pembentangan itu akan dibuat oleh ketua penyiasat Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370, Datuk Kok Soo Chon.

Loke berkata, pihak Malaysia Airlines sedang menghubungi semua keluarga dan waris mangsa untuk hadir ke pembentangan itu di Kementerian Pengangkutan.

“Laporan ini akan dibentangkan secara sepenuhnya, tiada penyuntingan, pertambahan atau penolakan apa-apa ayat,” katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan kru, hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac, 2014.

Loke berkata, laporan itu akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai selain dimuat naik dalam laman sesawang kementerian.

“Sebanyak 1,000 naskhah laporan penuh siasatan dicetak dan akan dihantar kepada setiap kedutaan asing serta organisasi media yang terlibat,” katanya.

Loke berkata, pembentangan itu dibuat selaras dengan janjinya sebelum ini bahawa kerajaan akan telus dalam mengendalikan laporan berkenaan dan komited mengeluarkan laporan itu pada Julai. - Bernama

MH370

Artikel Sebelum

Durian RM1!

Artikel Lain