SHAH ALAM: Pelaksanaan pemakaian kasut berwarna hitam kepada pelajar sekolah pada tahun hadapan merupakan satu pelaksanaan yang baik. Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, ini kerana pemakaian kasut warna hitam akan menampakkan pelajar lebih kemas. Katanya, selain ia juga akan lebih memudahkan pelajar dalam hal menjaga kekemasan kasut mereka. "Pengumuman awal warna kasut ini merupakan satu perkara yang kita nampak satu kepekaan menteri, meskipun nampak kecil. "Kalau hitam nampak segak, lebih kemas itu gambarkan menteri ini sangat peka apa yang dialami pelajar, sebabnya besar pada ibu bapa dan pelajar-pelajar," katanya. Dalam program Bicara Minda, Malaysia Baharu & Pendidikan Negara anjuran Sinar Harian pada Khamis, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pelajar sekolah tidak lagi memakai kasut sekolah berwarna putih mulai tahun depan, sebaliknya ia ditukar kepada warna hitam. Maszlee berkata, peraturan baharu itu dibuat selepas mendengar keluhan dan harapan ibu bapa. - Sinar Harian