PETALING JAYA: Hanya sekeping gambar yang pada mulanya sekadar suka-suka dan gurauan menunjukkan ‘seorang isteri di atas sejadah’ yang dimuat naik seorang lelaki di laman sosial telah bertukar menjadi bahan kecaman netizen. Manakan tidak, gambar tersebut menunjukkan isterinya yang masih bertelekung sedang duduk di atas sejadah dalam keadaan kepalanya 'disumbat' dengan bakul sampah, dan kelihatan anak perempuannya pula sedang berdiri di belakang ibunya. Menerusi keterangan gambar tersebut dipercayai, bakul sampah itu diletakkan oleh anak mereka yang masih kecil dalam lingkungan usia dua tahun. “Ya Allah anakku! Terkejut ayah... mati-mati ingat ibu kau dah tukar mazhab lain, rupanya keja kau. Kesian ibu woi. Haha,” menurut status yang kini tular di media sosial. Namun lelaki menerima padah kerana mengambil gambar wanita tersebut sedang bersolat dalam keadaan sedemikian hingga disifatkan netizen sebagai mempersendakan agama. Pengguna Facebook, Azizi Alias tampil menjelaskan bahawa gambar tersebut sebenarnya semasa isterinya yang baru selesai solat dan bukan sedang bersolat sebagaimana yang disangka netizen. Mengakui memuat naik gambar tersebut pada waktu solat Maghrib, dia tidak menyangka ia menjadi tular kerana sering berkongsi detik-detik manis dirinya dan keluarga untuk tatapan kenalan di laman sosial. “Foto itu diambil ketika isteri saya sedang duduk zikir selepas solat, bukannya ketika tahiyat akhir. Ramai yang salah sangka mengatakan isteri saya sedang solat. Saya pun tahu hukum-hakam. “Dan bakul yang digunakan itu bukanlah bakul sampah tapi adalah bakul mainan anak saya yang suci dan bersih,” katanya menerusi kenyataan bagi menjelaskan salah faham dan kecaman netizen di Facebook milik, lewat malam Isnin. Namun Azizi Alias menyedari ‘sekeping gambar’ mendatangkan banyak tafsiran termasuk kritikan negatif. “Ramai yang terhibur dengan telatah anak kecil saya, namun ada juga yang melihat perbuatan saya mengambil gambar itu seolah-olah mempersendakan agama. “Tidak ada sekelumit zarah untuk saya mempersendakan agama Islam yang tinggi dan suci ini,” katanya sambil menambah mengambil keputusan untuk memadam foto tersebut bagi mengelakkan lebih banyak salah faham dalam kalangan netizen. Dalam pada itu, Azizi Alias membuat permohonan maaf di atas ketelanjuran mengambil dan memuat naik gambar berkenaan, selain berterima kasih di atas teguran terhadapnya. “Saya mohon maaf sekali lagi kepada semua orang dan doakan agar saya, isteri dan anak kami sentiasa dalam lindungan Allah,” katanya yang akan lebih berhati-hati selepas ini.