suria

Dimsum terbangkan artis Thailand, raikan pelanggan Ogos ini

(dari kiri) Ketua Pegawai Pemasaran Dimsum, Lam Swee Kim; Pengurus Bangkok Airways (Malaysia), Nitikorn Komkris; Ketua Pegawai Eksekutif Bangkok Bank, Choo Joon Keong; Duta Thailand ke Malaysia Narong Sasitorn; Kaunselor (Komesial) Kedutaan Thai, Patcha Wutipan; Timbalan Pengarah Lembaga Pelancongan Thai, Sirintara Surakanitaya; Kaunselor Pejabat Perhubungan Tenaga Kerja, Kannika Taenkhum dan Pengurus Perkhidmatan Lapangan Terbang Antarabangsa Thai Airways, Kanchalee Nongpayak.

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan langganan ‘video on demand’, dimsum meraikan pelayar mereka menerusi sambutan luar biasa apabila  menerbangkan dua artis dari Thailand ke negara ini.

Bintang drama My Dear Loser Series: Monster Romance yang akan disiarkan menerusi platform itu, Thanat Loekhunnasombat dan Worranit Thowornwong akan menemui peminat menerusi acara Top Thai Brands 2018, Ogos depan.

Ketua Pegawai Pemasaran dimsum Malaysia, Lam Swee Kim berkata, kandungan drama Thailand mencatatkan tontonan yang tinggi menerusi platform itu.

“Sambutan pelanggan dimsum terhadap drama Thailand sangat luar biasa. Ia berada di tangga kedua selepas kandungan dari China.

“Jadi kami membawakan dua artis itu untuk menemui peminat Ogos nanti, akan ada banyak aktiviti seperti sesi ramah mesra dan pelbagai permainan menarik.

“Malah, mereka yang hadir ke acara itu juga berpeluang untuk mendaftar langganan dimsum pada harga istimewa yang jauh lebih murah berbanding harga asal,” ujar Swee Kim kepada mStar Online.

Beliau ditemui sewaktu sidang media acara Top Thai Brand 2018 di Hotel Ritz Carlton, di ibu negara.

Acara Top Thai Brands 2018 bakal berlangsung pada 9 hingga 12 Ogos depan bertempat di Hall 5, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Selain kehadiran dua artis tersebut, Top Thai Brands 2018 juga membawa 100 peserta pameran merangkumi kecantikan, barangan dekorasi rumah, fesyen dan produk-produk lain dari negara itu.

Acara selama empat hari itu juga bakal membuka peluang kepada usahawan tempatan dan Thailand untuk meneroka peluang dan membuat padanan perniagaan sesama mereka.

Menerusi acara itu, pengunjung akan disajikan dengan persembahan kebudayaan negara itu yang dikenali sebagai KidBuakSipp yang dibawakan khas oleh Autoriti Pelancongan Thailand.

Pengunjung bertuah juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti pakej urutan oleh Thai Oddisey dan tiket pelancongan ke Pulau Samui, Thailand.






dimsum, Swee Kim, Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain