TURKI: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan tetamu istimewa ketika beliau sedang menerima rawatan selepas selesai pembedahan di Turki, Jumaat lalu. Menerusi catatan di Facebook miliknya, Anwar memberitahu beliau dikunjungi ulama terkenal, Shaikh Yusuf Al-Qaradawi yang kebetulan turut berada di Turki. Menurutnya, Qaradawi pernah mengutus surat kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh ini ketika beliau menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) baru-baru ini. “Ketika di PPUM bulan lalu, beliau ada mengutus surat kepada saya. Beliau menitip pesan antara lain agar risalah Islam terus dipertahan ke arah kedamaian dan keadilan di samping menolak sikap melampau. “Qaradawi turut menambah betapa dakwah perlu disemarak untuk mendalami kefahaman Islam dan menolak fanatisme kelompok (assabiyah) yang angkuh lagi jumud. “Dukungan berterusan ini pastinya amat bermakna buat saya. Semoga Syeikh Yusuf al-Qaradawi terus diberi kesihatan yang baik dan sentiasa dalam lindunganNya,” katanya. Anwar berada di Turki dan sedang menerima rawatan selepas beliau selesai menjalani pembedahan tulang belakang dan bahunya.-SinarHarian