suria

Gadis kembar '7G' minta maaf tapi...

Ieka dan Iera.

PETALING JAYA: Selepas dikecam teruk oleh netizen kerana menyalahkan sekolah dan guru-gurunya gara-gara keputusan gagal '7G', Instafamous Siti Norsyafiqah Tajudin atau Ieka dan kembarnya, Siti Norsyakirah (Iera) tampil membuat permohonan maaf di akaun Instagramnya.

"Hi dan Assalamualaikum untuk pembaca sekalian. Di kesempatan ini, kami (Ieka dan Iera) ingin menjelaskan dan memohon maaf di atas isu viral mengenai hal kami yang telah menjadi isu perbualan orang ramai sekarang ini," tulisnya.

Menurut Ieka, dia tidak berniat untuk menjatuhkan maruah sekolahnya susulan penyebaran video 'live' di Instagram berhubung isu tersebut yang mengundang kecaman netizen baru-baru ini.

"Sepertimana di dalam video live Ieka yang tersebar, kami tidak sesekali bermaksud untuk menjatuhkan maruah sekolah kami.

"Dan di kesempatan ini kami ingin memohon maaf di atas keterlanjuran menyebut nama sekolah tersebut dan tidak akan mengulanginya lagi," kata gadis berusia 17 tahun itu.

Ieka menjelaskan kes tersebut tiada kaitan dengan sekolahnya tetapi melibatkan kalangan kawan-kawan yang didakwa ingin menjatuhkan dirinya dan pasangan kembarnya.

Live video Ieka tular di media sosial.

"Masalah ini hanya melibatkan kalangan kawan kami sahaja yang ingin menjatuhkan kami berdua dan sanggup menyebarkan isu privasi kami kepada orang awam.

"Kami anggap ianya agak melampaui batas dan menjatuhkan maruah," katanya.

Tegas Ieka, dia dan kembarnya, Siti Norsyakirah atau lebih dikenali sebagai Iera membuat keputusan untuk tidak memaafkan individu terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN:"Budak sekarang dapat 7G relaks je, siap cakap cikgu salah."

"Kami tidak akan memaafkan mereka dia atas segala perbuatan dilakukan. Sebaliknya kami bangkit dan kuat untuk hadapi isu ini.

"Segala tohmahan cacian dan kritikan yang kami terima kami jadikan sebagai satu suntikan semangat untuk terus sukses dalam kehidupan kami," katanya.

Kata Ieka, meskipun gagal atau b**** dalam peperiksaannya, tidak bermakna mereka juga akan gagal dalam kehidupan.

"Kami harap isu ini tidak dibangkitkan lagi dan terima kasih kepada mereka yang selalu ada bersama kami dan tidak putus memberikan semangat mengetahui cerita yang sebenar berlaku di sebalik kejadian itu," katanya.

Ieka memuatnaik paparan skrin permohonan maaf daripada individu yang mendakwa menyebarkan live videonya.

Pada masa sama, Ieka turut memuatnaik gambar posting seseorang yang mendakwa dirinya sebagai salah seorang yang menyebarkan video 'live' yang menjadi kontroversi itu.

Dalam posting itu, individu terbabit memohon maaf di atas kesilapannya memuatnaik video tersebut dan berjanji akan memadam posting berkenaan.

Namun berdasarkan keterangan gambar pada posting itu di Instagram, Ieka enggan memaafkan individu tersebut.

"Anda mungkin boleh minta maaf tetapi anda cari pasal dengan orang yang salah," katanya.

Ieka, Iera, instafamous, 7G

Artikel Lain