suria

Tun M bincang isu ekstradisi Sirul dengan Bishop

Sirul Azhar Umar.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertanya mengenai pendirian Australia berkaitan ekstradisi bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar semasa pertemuan dengan Menteri Luarnya, Julie Bishop minggu ini.

“Saya mahu mengetahui pendirian Australia berhubung isu ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Isnin.

Dr Mahathir berkata mesyuarat itu tidak tertumpu untuk membincangkan isu Sirul tetapi beliau akan mengemukakan perkara tersebut.

Bishop akan berada di Malaysia untuk lawatan diplomatik bermula Selasa hingga Khamis ini.

Dr Mahathir sebelum ini berkata hukuman mati yang dikenakan ke atas Sirul mungkin dikurangkan bagi membenarkan Australia mengekstradisi bekas anggota polis itu ke Malaysia.

Sirul bersama dengan ketua inspektor, Azilah Hadri telah disabitkan dengan hukuman mati pada 2009 kerana terlibat dalam pembunuhan Altantuya.

Pada April 2009, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul dan  Azilah kerana membunuh model berusia 28 tahun itu di sebuah hutan di pinggir Kuala Lumpur pada Oktober 2006 dengan badannya diletup menggunakan bahan letupan gred tentera.

Mereka bagaimanapun dibebaskan Mahkamah Rayuan pada Ogos 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 mengembalikan sabitan bersalah itu dan menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka berdua.

Sirul melarikan diri ke Australia sebelum penghakiman Mahkamah Persekutuan dan ditahan di pusat tahanan imigresen Australia di Sydney sejak 3 tahun lalu, sementara Azilah menunggu hukuman mati di Penjara Kajang.

Sirul Azhar, Tun M, Altantuya

Artikel Sebelum

Artikel Lain