PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menubuhkan Badan Penyiasatan Bebas untuk menyiasat dakwaan gangguan seksual ke atas doktor pelatih oleh seorang ketua jabatan di sebuah hospital. Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, badan tersebut akan menggabungkan KKM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensi kerajaan berkaitan untuk tujuan tersebut. KKM turut mengadakan mesyuarat bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh pada petang Isnin bagi membincangkan tentang tindakan yang wajar diambil. "Susulan pembongkaran kes ini, lebih ramai pegawai perubatan termasuk pelatih perubatan siswazah tampil membuat aduan yang serupa kepada pejabat Menteri Kesihatan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui pelbagai saluran. "KKM menyeru semua mangsa yang menghadapi kekerasan atau gangguan di tempat kerja sama ada dalam bentuk fizikal, verbal, mental atau seksual untuk membuat laporan terus kepada Menteri Kesihatan di alamat emel [email protected]," katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin. Pada Ahad, The Star melaporkan kes yang melibatkan gangguan seksual dan buli oleh ketua jabatan ortopedik di sebuah hospital di Lembah Klang. Laporan tersebut memaklumkan bahawa terdapat seorang Ketua Jabatan Ortopedik yang berkhidmat di hospital milik kerajaan membuat gangguan seksual beberapa kali terhadap pegawai di bawah seliaannya.