suria

21 pendaki Malaysia masih terperangkap

Para pendaki selepas turun dari Gunung Rinjani berkumpul di Kampung Sembalun. - Reuters

JAKARTA: Lebih 500 pendaki termasuk 21 dari Malaysia dilaporkan masih terperangkap di gunung berapi Rinjani di Lombok Timur.

Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia menyatakan pasukan penyelamat kini berusaha melakukan evakuasi  mengeluarkan semua pendaki terbabit dari gunung itu.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata berdasarkan data pihak berkuasa Indonesia, seramai 524 pendaki iaitu 358 daripadanya warga negara luar dan 166 warga Indonesia masih terperangkap di gunung itu selepas kejadian gempa bumi Ahad.

"Proses evakuasi mengalami sedikit kesulitan kerana berlaku runtuhan tanah di akses jalan utama ke gunung itu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata operasi untuk mengeluarkan semua pendaki itu disertai pasukan tentera Indonesia, polis dan pasukan perubatan.

Dalam kejadian gempa berkekuatan  6.4 Skala Richter di Lombok, Nusa Tenggara Barat Indonesia semalam itu, seramai 14 mangsa dilaporkan terkorban setakat ini, termasuk seorang warga negara Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail, 30.

Gunung berapi Rinjani, gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia itu dengan ketinggian 3,726 meter merupakan destinasi  popular dalam kalangan pelancong dan pendaki yang terkenal dengan keindahan semulajadinya.

Gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok jam 5.47 pagi semalam menyebabkan penduduk kawasan itu bertempiaran meninggal kediaman dan bangunan. Setakat ini lebih 1,000 rumah dan bangunan dilaporkan musnah.

Sutopo Purwo berkata beberapa jaringan telekomunikasi seperti Indosat dan H3I tidak dapat digunakan di kawasan itu ketika ini berikutan terputusnya bekalan elektrik.

"Pasukan evakuasi memulakan proses menyelamat bermula jam 8 pagi ini," katanya. - Bernama

Artikel Berikut

GMM tamat operasi esok

Artikel Lain