suria

MH370: Pegawai trafik udara bertugas dikena tindakan

KUALA LUMPUR: Pegawai trafik udara yang bertugas semasa pesawat Malaysia Airlines MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 akan dikenakan tindakan kerana tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, satu jawatankuasa dalaman akan ditubuhkan serta-merta bagi menentukan bentuk tindakan yang boleh diambil ke atas beberapa pegawai trafik udara berkenaan.

“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian menubuhkan jawatankuasa dalaman ini dan tindakan yang bakal diambil dijangka diputuskan dalam tempoh sebulan lagi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Menurutnya, beberapa pegawai trafik udara yang pada ketika itu bertugas dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) kini masih bertugas dengan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Pelanggaran SOP itu didedahkan dalam Laporan Siasatan Keselamatan berhubung kehilangan MH370 oleh pasukan penyiasatan keselamatan yang dikeluarkan pada Isnin.

Dalam pada itu, Loke mengesahkan peletakan jawatan Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman sebagai pengerusi CAAM dengan notis 14 hari.

“Saya tidak kata tentang sebarang salah laku tetapi berdasarkan laporan itu, beliau meletak jawatan. Tiada sebarang laporan terhadap mana-mana orang. Menurut laporan itu SOP tidak dipatuhi dan dia DG (DCA) pada masa itu. Sekarang apa yang dia buat adalah letak jawatan untuk mengambil tanggungjawab itu,” katanya.

Ditanya sama ada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap Azharuddin, beliau berkata, perkara itu terpulang sekiranya siasatan lanjut dijalankan.

Penerbangan MH370 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang kebanyakannya warga China, hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Terdahulu, Loke dalam usul khas di Dewan Rakyat bersempena pengeluaran laporan itu, berkata pasukan penyiasatan antara lain telah membuat analisis ke atas lencongan pesawat daripada laluan pelan penerbangan yang difailkan dan perkhidmatan operasi kawalan trafik udara.

“Profil kru penerbangan, ‘airworthiness', penyelenggaraan sistem pesawat, komunikasi satelit, maklumat berhubung bangkai serta impak pesawat, maklumat berhubung organisasi dan pengurusan DCA dan MAS serta konsainan kargo pesawat turut dianalisis, katanya.

“Dalam hubungan ini, kerajaan sedang meneliti syor-syor keselamatan yang dibuat dan akan mengambil tindakan penambahbaikan sewajarnya bagi mengelak kemalangan udara pada masa hadapan.  

“Pada masa sama, kerajaan akan turut menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sebarang salah laku yang telah dilakukan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Pada sesi itu, Loke turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Kok Soo Chon selaku ketua penyiasat  Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) Malaysia dan semua yang terlibat kerana telah menjalankan siasatan dengan telus dan adil.

“Pengeluaran laporan siasatan ini menunjukkan komitmen dan ketelusan Malaysia dalam mematuhi tanggungjawabnya sebagai sebuah negara pejanji Konvensyen Chicago dan Annex 13.  

"Pasukan penyiasat telah diberi kebebasan sepenuhnya dalam menjalankan siasatan dan tiada sebarang pindaan yang dibuat ke atas laporan tersebut. Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 11 Julai 2018 telah diberi taklimat dan mengambil maklum hasil penemuan laporan berkenaan,” katanya. - Bernama

Anthony Loke, MH370

Artikel Lain