SHAH ALAM: Pemerhati politik yakin rakaman audio didakwa sebagai ucapan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengkritik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai palsu. Menurut pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff, jika diteliti audio ucapan itu jelas dilihat dibuat golongan tertentu untuk menimbulkan fitnah. Katanya, pendekatan itu sudah tidak boleh diterima oleh rakyat kini, yang bijak menilai sesuatu penyebaran berita. "Saya yakin rakaman audio itu palsu. Cara meniru gaya suara Anwar pun setaraf dengan pelajar kolej yang sedang menyiapkan projek multimedia mereka. "Kenapakah taktik sebegini masih digunakan untuk membunuh karektor politik Anwar? Apakah untuk menimbulkan permusuhan antara Anwar dengan Tun Dr Mahathir? Apakah untuk memecahkan PH? "Jika itulah tujuannya, hentikanlah. Rakyat tidak percaya dengan taktik tidak bertamadun seperti ini. Sekarang kedua-dua mereka sudah berdamai," katanya dalam kenyataannya susulan penyebaran tiga rakaman audio yang didakwa sebagai ucapan Anwar. Rakaman pertama tentang Anwar meminta Rafizi Ramli melawan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan parti kerana mendakwa Azmin telah menjadi “barua Mahathir”. Rakaman kedua mengkritik Mahathir kerana melantik diri sendiri menjadi pengerusi Khazanah Nasional, manakala yang ketiga berkatitan skandal Forex pada 1990-an ketika Mahathir menjadi perdana menteri. Jelasnya, Anwar sudah berulang kali memberitahu beliau menyokong kepimpinan Mahathir. Katanya lagi, berilah peluang kepada kedua-duanya untuk menguruskan pemerintahan negara tanpa menggoncang hubungan mereka. Justeru Agus mendesak agar pihak berkuasa menyiasat penyebaran audio ini dan mengambil tindakan yang sepatutnya. "Orang yang memfitnah patut ditangkap dengan segera. Jangan biarkan politik fitnah sebegini menjadi budaya berpolitik di negara kita. Pesan saya, ingat dosa pahala," katanya.-SinarHarian