suria

Kapal Jho Low diserah kepada Malaysia

KUALA LUMPUR: Indonesia bersetuju untuk menyerahkan sebuah kapal mewah bernilai AS$250 juta (RM1 bilion) yang dikaitkan dengan skandal rasuah pengurusan dana negara, yang dirampas di Bali awal tahun ini, kata pihak berkuasa Indonesia pada Sabtu.

Kapal Equanimity yang berdaftar di Kepulauan Cayman itu dirampas pada Februari lalu atas permintaan pihak berkuasa AS, sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah membabitkangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dilancarkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Keputusan mahkamah Indonesia pada April mengisytiharkan kapal tersebut secara tidak sengaja dirampas dan harus dipulangkan kepada pemiliknya.

Polis Indonesia merampas semula kapal itu pada Julai lalu berikutan permintaan rasmi untuk bantuan undang-undang dari Amerika Syarikat. 

Menurut Polis Indonesia, mereka akan menyerahkan kapal tersebut ke Malaysia tetapi tidak memaklumkan bila mereka akan berbuat demikian.

"Kapal itu akan diserahkan di sempadan perairan Indonesia-Malaysia," kata timbalan jenayah ekonomi dan khas, Daniel Silitonga kepada Reuters.

"Kami perlu mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua negara," katanya, sambil menambah bahawa kapal itu kini berada di perairan berhampiran Singapura dan Pulau Batam.

Sumber memberitahu Reuters bahawa keputusan untuk memulangkan kapal itu susulan permohonan secara peribadi dikemukakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, usaha Reuters untuk mendapatkan komen Dr Mahathir tidak berhasil. 

Pada Jun lalu, Dr Mahathir mengadakan lawatan rasminya ke Indonesia selepas menewaskan Datuk Seri Najib Tun Razak pada pilihan raya umum yang lalu.

1MDB menjadi tumpuan kepada siasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya enam negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.

Menurut saman sivil DOJ, sejumlah AS$4.5 bilion didakwa diselewengkan oleh pegawai kanan tinggi dana berkenaan.

Najib berulang kali menafikan salah laku. Low Jho Taek atau Jho Low pula dilihat sebagai individu utama dalam kes berkenaan.

Berdasarkan saman sivil itu, Jho Low menggunakan wang yang diseleweng dari IMDB untuk memperoleh Equanimity, kapal sepanjang 91 meter (m) yang berdaftar di Kepulauan Cayman.

Dalaman kapal itu dikatakan dihiasi dengan daun emas dan mamar, spa, dan sauna, kolam renang 20m di bahagian dek, panggung wayang, lif dan helipad.

Sehingga kini, lokasi Jho Low tidak dapat dikenal pasti dan pihak berkuasa Malaysia sudah membatalkan pasport ahli perniagaan itu. - Reuters

1MDB, Jho Low, Equanimity

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain