suria

Perkataan lucah cemari Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Kemuliaan Dewan Rakyat terus dicemari dengan kata-kata kurang sopan yang dilontarkan oleh ahli Parlimen.

Hari ini, Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) menyebut perkataan lucah sehingga mengundang kemarahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Situasi itu bermula apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) mahu bertanyakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming.

Bagaimanapun, soalan Rayer mendapat celahan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (BN-Larut) sehingga menyebabkan Rayer menyebut perkataan 'kepala bapak' sekali lagi.

Hamzah yang tidak berpuas hati meminta Rayer menarik balik perkataan tersebut.

Namun, di celah-celah kekecohan itu Abdul Rahman menyebut perkataan kesat dan didengari oleh Mohamad Ariff.

Kesal dengan penggunaan perkataan itu, Mohamad Ariff mengarahkan Abdul Rahman menariknya balik.

"Itu saya dengar, itu paling tidak sopan. Tarik balik kalau tidak saya suruh keluar.

"Jangan guna perkataan kesat sebegitu dalam dewan yang mulia ini. Siapa yang sebut tadi?,"katanya.

Abdul Rahman kemudiannya bangun dan cuba mempertahankan diri.

Bagaimanapun, Mohamad Ariff tetap bertegas dan melarang penggunaan perkataan lucah di dalam dewan.

"Ini lagi dahsyat daripada kepala bapak. Ia tak beri apa-apa faedah kepada dewan yang berhormat ini, tarik balik," katanya.

Abdul Rahman akhirnya akur dan menarik balik perkataan tersebut.

"Oleh kerana kita nak beri pengajaran kepada dia (Rayer), tak apa, saya tarik balik," katanya.

Mohamad Ariff turut memberi amaran sekali lagi kepada semua ahli Parlimen agar lebih menjaga pertuturan. - Sinar Harian

Dewan Rakyat, bahasa kesat

Artikel Berikut

Artikel Lain