PETALING JAYA: Selebriti media sosial, Chef Adam Mahamed Ismail mempertahankan harga krim tangan yang dipromosi menerusi iklan di Instastory miliknya adalah berpatutan dan menganggap kecaman netizen itu tindakan tanpa usul periksa. Menurut Adam yang kini menetap di Birmingham, United Kingdom (UK), beliau menetapkan harga RM100 bagi setiap 50ml krim tangan dari England itu dengan mengambil kira semua kos overhead. “Orang ramai kena faham. Harga itu bukan main-main letak. Orang yang buat bisnes mesti tahu semua melibatkan overhead. “Kos untuk pergi beli… bukan rumah saya dekat sebelah kedai. Jadi anda perlu pergi ke pusat bandar untuk beli. Kemudian bagasi lagi. “Orang cakap boleh selit je dekat baju. Kalau satu dua botol fahamlah tapi anda jual berbotol-botol, Kastam akan periksa. Dia tak perlu nak buka bagasi… masuk mesin pengimbas terus nampak. “Kalau nak selit macam mana pun tak masuk akal. Anda perlu bayar cukai Kastam lagi. Lepas tu kos pengeposan semasa di Malaysia. Jadi harga tersebut sudah termasuk semua kos sekali,” katanya kepada mStar Online. Paparan skrin iklan krim tangan yang dimuat naik ke Instastory miliknya baru-baru ini. Pada masa sama, Adam berkata beliau tidak memaksa orang ramai untuk membeli produk tersebut dengannya. “Saya menjual dan tak paksa anda untuk beli. Bagi saya pilihan masing-masing. Saya jual barang UK, kalau dekat Malaysia tolong beritahu saya ada ke jual RM10… tak ada kan. “Kalau beli online anda perlu tunggu hampir sebulan. Bukan itu sahaja, anda perlu tanggung sendiri kos penghantaran bernilai 20 pound sterling, itu belum lagi termasuk cukai Kastam. “Pilihan di tangan anda. Nak beli dengan saya boleh, nak beli online pun boleh atau anda beli sendiri tiket berharga RM4,000 dan datang sendiri ke sini (UK), jadi dapatlah beli dengan harga RM10,” katanya. Ditanya mengenai komen netizen yang menggelarnya sebagai penipu gara-gara harga tersebut, Adam berkata dia enggan ambil pusing mengenainya. “Saya tak menipu…. nak cepat kaya ke? Kalau tolak (kos) overhead semua tu berapa ringgit sangatlah dapat. Kalau nak kaya tak letak RM90… RM100, letak terus RM200… RM300. “Anda kena faham konsep. Jangan main kecam je. Dunia sekarang canggih lagi pun produk tu jenama terkenal boleh semak secara online. Buat apa saya nak menipu,” katanya. Jejaka berusia 27 tahun itu yang lebih dikenali sebagai Adamdiam turut menasihati netizen supaya jangan mengecam seseorang tanpa usul periksa. “Bagi saya perkara ini kita panggil penyakit hasad dengki. Jadi saya minta orang yang mulakan isu ini supaya bersihkan hati anda. “Tak tahulah apa niat dia. Dia dengki ke? Niat dia nak tolong orang lain ke macam mana… wallahu a’lam. Tak payah nak sibuk hal orang lain… rezeki masing-masing,” katanya. Paparan skrin iklan tersebut yang ditularkan ke laman Twitter turut mendapat perhatian netizen. Malah Adam berkata beliau sudah lama menjual sesuatu produk dari UK melalui Instagram miliknya. “Ini bukan kali pertama saya jual barang dari UK. Semua pelanggan yang selalu beli dengan saya akan repeat order sebab barang tu takkan dapat di Malaysia. “Alhamdullilah setakat semalam, saya masih lagi buka order. Tak ada pula timbul isu sehingga ada pelanggan yang dah bayar minta semula wang mereka. “Saya percaya setiap apa yang berlaku Allah akan ganti dengan benda lebih baik. Jadi biarlah netizen nak cakap apa,” katanya. Sementara itu, Adam berkata dia amat mementingkan perkhidmatan yang cekap dan pantas kepada pelanggannya. "Saya amat prihatin soal perkhidmatan. Sebab itu saya tak buat pengeposan dari UK kerana ia akan memakan masa yang lama. Nanti bila sampai lambat pelanggan akan bising. "Jadi bila saya nak balik Malaysia baharulah saya akan buka pesanan. Sebelum balik saya akan beli dan bungkus siap-siap. Lepas itu tinggal pos sahaja bila tiba di Malaysia," katanya.