suria

Speaker DUN Perak kena tegur sebab terlalu berlembut!

IPOH: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Aulong Nga Kor Ming menegur sikap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Datuk Ngeh Koo Ham (gambar) yang disifatkannya terlalu berlembut mengendalikan persidangan DUN.

Nga yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat mendakwa budi bicara Ngeh telah disalahgunakan atau dieksploitasi oleh pembangkang sehingga mengambil masa selama satu jam untuk menjawab satu soalan pada sesi soal-jawab.

“Saya perhatikan 40 minit sesi soal jawab  hanya jawab satu soalan sahaja, ini menunjukkan pembangkang tidak menepati janji mereka untuk menjadi pembangkang yang konstruktif.

“Jangan terlalu ‘bermurah hati'. Saya tahu beliau (Ngeh) berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi semua permintaan tidak munasabah dibuat pembangkang,” katanya dalam sidang media di luar Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Perak yang ke-14 di sini, Selasa.

Beliau berkata setiap Adun perlu mematuhi semua Perintah Tetap DUN Perak Darul Ridzuan. 

“Kita yang bergelar Yang Berhormat jaga tingkah laku mesti tahap seperti Yang Berhormat. Jangan lupa rakyat hari ini boleh pilih kamu, esok rakyat boleh tolak kamu?” katanya.

Dalam pada itu, Nga turut menzahirkan rasa kecewa dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan menolak tawaran menjadi pengerusi  Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang disifatkan satu jawatan berprestij.  

“Ia (jawatan pengerusi  PAC) memainkan peranan penting untuk semak dan imbang, tetapi terpulang kepada rakyat membuat penilaian kenapa ketua pembangkang tidak berani ambil peluang memikul jawatan berkenaan,” katanya.

Sebuah portal berita melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata Ahmad Zahid menolak jawatan itu antara lain kerana beliau bekas menteri Kabinet sebelum mencadangkan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee sebagai calon tunggal pembangkang untuk jawatan itu. - Bernama

Ngeh Koo Ham

Artikel Berikut

Najib dipanggil SPRM lagi

Artikel Lain