suria

"Saya tak terburu-buru kembali ke Parlimen" - Anwar

Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu beliau tidak terburu-buru untuk kembali ke Parlimen, kerana tumpuannya adalah pemilihan PKR pada September ini.

Presiden PKR itu berkata, kesepakatan dicapai dalam manifesto Pakatan Harapan bahawa beliau akan menjadi perdana menteri dalam tempoh dua tahun.

Sehubungan itu beliau tidak terburu-buru mengenai perkara tersebut.

"Apa yang lebih penting adalah pemilihan PKR," katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di sini, Khamis.

Anwar mendakwa, beberapa Ahli Parlimen PKR menawarkan untuk mengosongkan kerusi parlimen mereka untuk beliau.

"Jika anda lihat proses (untuk beliau menjadi perdana menteri), ia perlu bermula dengan penyertaan saya dalam Parlimen.

"Peralihan kuasa akan berlaku dalam tempoh dua tahun. Jika tiada siapa yang meninggal dunia, ia mungkin akan mengambil masa lima tahun," tambahnya.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong sebelum ini berkata, Ahli Parlimen PKR sedia mengosongkan kerusi mereka bagi memberi laluan kepada Anwar.

Ia turut disuarakan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang sedia mengosongkan kerusinya untuk Anwar.

Terdahulu, timbul spekulasi bahawa Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran ditawarkan RM25 juta untuk mengosongkan kerusinya buat Anwar.

Ahli Parlimen berusia 22 tahun itu bagaimanapun menafikan khabar angin tersebut.

Anwar Ibrahim, PKR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain