suria

"Hanya sempat capai bendera Malaysia tutup kepala..." - Bakal pengantin

PETALING JAYA: Dugaan seminggu sebelum perkahwinan, Nurul Ain Izzatti Arijan terpaksa reda apabila rumahnya kini hanya tinggal zink karat, manakala 11 barang hantarannya hanya tinggal abu.

Rumah pusaka yang diduduki Nurul Ain sekeluarga hangus dijilat api dalam kejadian lebih kurang jam 12.36 pagi Jumaat di Kampung Kuantan, Kuala Selangor.

Menurut Nurul Ain, 25, sebelum kejadian, ibunya Intan Shahirah Abdullah merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan rumah yang didiami mereka dan dia terus ke bahagian dapur.


"Ibu nampak lampu dapur berkelip-kelip dan dalam sekelip mata, api marak.

"Ibu memanggil ayah dan ketika itu saya berada di ruang tamu sedang menyiapkan beberapa barang hantaran.

"Saya terus menjerit keluar rumah meminta tolong, manakala ibu dan ayah terus keluar rumah.

"Saya juga ketika itu terus keluar rumah dengan baju tidur dan sempat capai bendera Malaysia di bawah rumah untuk tutup kepala sebelum menyelamatkan diri.

"Hanya beberapa minit rumah tinggal abu. Bomba tiba selepas 20 minit selepas saya menghubungi pasukan kecemasan.

"Tiada apa yang sempat diselamatkan kecuali telefon bimbit saya sahaja yang kebetulan ketika itu saya sedang gunakan.

"Pelamin, 11 barang hantaran yang saya sendiri siapkan serta wang tunai untuk digunakan majlis turut hangus.

"Tiga buah kipas dan sebuah mesin basuh yang baru dibeli minggu lepas juga hangus.

"Nasib baik juga ketika kejadian dua adik saya tidak berada di rumah. Mereka belajar di asrama dan di kolej," katanya dalam nada sedih ketika dihubungi mStar Online.

Gambar Nurul Ain (kiri) sekeluarga pada Hari Raya Aidilfitri Jun lalu.

Menurut Nurul Ain, dia dan keluarga kini perlu menerima hakikat dan menganggap apa yang berlaku sebagai satu ujian besar.

"Minggu depan saya bakal berkahwin (18 Ogos) dan 20 Ogos genap umur saya 25 tahun.

"Memang sedih tetapi tetap bersyukur kerana ibu dan ayah selamat. Cuma ayah melecur dalam sepuluh peratus terkena api ketika kejadian.

"Walaupun semuanya sudah hangus, majlis perkahwinan akan diteruskan selepas berbincang dengan keluarga dan saudara mara. Lagi pun jemputan sudah diedarkan.

Pelamin dan barangan hantaran yang sudah siap sebelum kebakaran.



Kad jemputan majlis perkahwinan sudah diedarkan.

"Tunang saya Ahmad Akmal Abd Rahaman dan keluarganya juga telah dimaklumkan dan mereka juga faham.

"Kami memang rancang untuk adakan majlis perkahwinan di Pusat Tahfiz Al-Muhammadiah, yang terletak di hadapan rumah saya.

"Saya juga bersyukur kebakaran ini tidak merebak ke pusat tahfiz itu.

"Buat masa sekarang saya tumpang tinggal di rumah makcik di Kuala Selangor, manakala ibu dan ayah menumpang di pusat tahfiz.

"Cuma adik-adik saya balik nanti, belum pasti lagi penerimaan mereka," ujarnya.

Jelas anak sulung daripada tiga beradik itu, laporan polis telah dibuat pukul 4 pagi Jumaat.

"Pihak bomba beritahu kemungkinan punca kebakaran kerana gas bocor.

"Memang tidak boleh bayangkan rumah pusaka keluarga hilang begitu sahaja. Doakan kami sekeluarga kuat menempuh dugaan ini," katanya.

rumah, barang kahwin, terbakar

Artikel Lain