suria

Tun M 'periksa' kapal mewah milik Jho Low

PELABUHAN KLANG: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Pusat Pelayaran Boustead di sini untuk 'memeriksa' kapal layar mewah Equanimity.

Dr Mahathir tiba di sini kira-kira pukul 11.40 pagi Sabtu.

Turut hadir Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tan Sri Jeneral Zulkifli Zainal, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Kapal mewah itu dikaitkan dengan ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dirampas pihak berkuasa Indonesia di Bali pada 28 Februari lalu atas permohonan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Pihak berkuasa Indonesia menyerahkan kapal itu kepada polis marin Malaysia di Pulau Batam pada Isnin.

Keesokan harinya, kapal yang dianggarkan bernilai RM1 bilion itu berlayar menuju ke sini dan berlabuh di Pusat Pelayaran Boustead, Pelabuhan Klang, Selasa lalu.

Perdana Menteri dan pegawai lain akan diberi taklimat mengenai kapal mewah itu dan penyitaannya di sini sebelum menaikinya untuk melakukan tinjauan.

Pengamal media sudah dimaklumkan bahawa mereka tidak dibenarkan menaiki kapal tersebut.

Equanimity, Tun M, Jho Low

Artikel Lain