suria

Dulu suri rumah, kini tauke ikan termahal di Malaysia!

KUCHING: Bermula dengan minat memelihara ikan dalam akuarium dan kolam simen di rumah, kini Puri Johan, 54, bergelar usahawan spesies ikan sungai termahal di Malaysia iaitu empurau.

Segalanya bermula pada tahun 2007, apabila beliau yang hanya bergelar suri rumah sepenuh masa mula berjinak-jinak dalam bidang penternakan ikan yang mendapat jolokan 'emas Borneo' itu.

Walaupun tidak mempunyai kepakaran dan pengetahuan mendalam tentang penternakan ikan empurau, namun wanita yang berasal dari Kampung Taee, Serian ini tetap ingin mencuba nasib.

Mana tidaknya, pada waktu itu ikan empurau begitu popular diperkatakan kerana nilai dan harga yang sangat tinggi serta berpotensi menjadi sumber pendapatan lumayan kepada sesiapa sahaja yang ingin menceburkan diri dalam penternakannya.

Dengan sokongan suaminya, Chua Eng Chai, 64, yang bersara daripada tentera laut, Puri sanggup mengorbankan kolam renang yang dibina untuk anak-anaknya di rumah mereka yang terletak di Kampung Taee untuk dijadikan kolam penternakan ikan empurau.

Dari situlah bermulanya perjalanan perniagaan ikan empurau jenama Puri Johan Aquaculture Sdn Bhd, yang kini sudah memasuki pasaran sehingga ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.

Puri ketika dalam satu temuramah bersama mStar Online berkata kini terdapat kira-kira 5,000 ekor ikan empurau pelbagai saiz diternak di lima kolam induk di ladangnya yang berkeluasan dua ekar di Kampung Taee.

"Saya tak sangka percubaan menternak ikan empurau ini akhirnya menjadi perniagaan yang besar," katanya.

Semasa kunjungan ke ladang ternakan sistem dan proses penternakan yang dijalankan kelihatan sangat baik untuk memastikan kualiti ikan terjamin.

Selain kolam-kolam yang menempatkan induk ikan, terdapat juga tiga kolam pembersihan di mana ikan hidup yang ditempah akan dikuarantin terlebih dahulu untuk memastikan ia benar-benar bersih sebelum dijual kepada pembeli.

Eng Chai memberitahu ikan-ikan yang sudah mencecah berat untuk dijual iaitu dari 1.5 kilogram seekor ke atas juga diberikan makanan istimewa iaitu buah engkabang untuk memberikan rasa asli isinya, sama seperti ikan yang ditangkap di sungai.

Katanya, harga yang ditawarkan kepada pembeli adalah RM750 sekilogram bagi seekor ikan seberat antara 1.5 hingga 2kg manakala berat 2kg ke atas, nilainya akan bertambah RM100 bagi setiap 500 gram.

"Buat masa ini, pembeli kami merupakan hotel-hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur seperti Shangri-La dan Hilton termasuk di Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.

"Kami juga cuba memasarkannya ke luar negara seperti Australia dan telah menghantar sampel ke Macau," katanya sambil menjelaskan untuk seekor ikan empurau membesar dari saiz tiga inci kepada seberat 1.5 kilogram memerlukan tempoh antara tiga hingga empat tahun.

Eng Chai menambah mereka juga mempunyai rumah pemprosesan ikan untuk sejuk beku, di mana ikan tersebut akan dibunuh menggunakan kaedah ‘Ikejime’ yang digunapakai oleh Jepun untuk membunuh ikan secara berperikemanusiaan.

Selepas dibunuh, katanya, ikan tersebut akan dibersihkan dan dibungkus menggunakan pembungkusan vakum untuk mengekalkan kualiti rasa dan kesegaran isinya.

Manakala untuk benih ikan pula, kepakaran terletak di tangan anak mereka, Chua Hua Beng, 31, yang mempelajarinya daripada Jabatan Pertanian Tarat.

Menurut Hua Beng, selain untuk ternakan sendiri, anak-anak ikan empurau yang dihasilkannya juga dijual kepada orang ramai dan usahawan-usahawan kecil yang berkecimpung dalam penternakan ikan empurau, dengan harga RM24 seekor bersaiz tiga inci.

"Kami membantu ramai orang yang menternak ikan empurau dengan membekalkan benih yang sukar diperolehi, selain turut membeli ikan yang sudah besar daripada mereka untuk dipasarkan," katanya.

Justeru bagi perancangan masa depan, Puri berhasrat untuk menjadikan ladangnya sebagai sebuah pusat eko-pelancongan.

"Mungkin saya akan buat pakej yang mana selain melawat dalam ladang, orang ramai juga boleh merasai sendiri ikan empurau yang dimasak sambil bercerita tentang empurau dan cara-cara menternaknya," katanya.

ikan empurau, raja sungai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain