suria

Ketua polis negeri, pegawai kanan gagal tangani isu judi, rasuah boleh dibuang kerja

KUALA LUMPUR: Ketua polis negeri dan pegawai kanan yang gagal menangani isu seperti judi dan rasuah di kawasan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka akan dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata ketika ini, beberapa pegawai kanan polis telah dikenalpasti dan ditukarkan serta merta sebelum dikenakan tindakan tatatertib.

“Tindakan tatatertib terhadap mereka (pegawai kanan polis) bergantung kepada merit kesalahan yang dilakukan.

“Contohnya, pertukaran di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak itu, kita (pengurusan) akan ambil tindakan susulan terhadap mereka,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman di sini, Selas.

Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Integrasi dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah mengenakan tindakan tatatertib kepada 926 pegawai dan anggota bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini. 

“Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seramai 149 anggota polis ditahan atas kesalahan rasuah tahun lepas berbanding 179 anggota pada 2016.

“Walaupun jumlah ini menunjukkan penurunan, namun persepsi negatif masyarakat terhadap ketelusan PDRM masih sama,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata pihaknya tidak akan berkompromi ke atas pegawai dan anggota yang melakukan kegiatan jenayah.

Oleh itu, setiap operasi dan serbuan yang dijalankan akan disertai pegawai JIPS bagi membendung aktiviti salah laku, katanya.

Pada 2 Ogos lepas, Mohamad Fuzi berkata  tindakan menukar Ketua Polis Daerah (KPD) Gombak, ACP Ali Ahmad dan beberapa pegawai dengan kadar serta merta adalah kerana kegagalan mereka  membendung kegiatan judi haram di daerah berkenaan.— Bernama

Fuzi, judi, polis

Artikel Lain