KOTA BHARU: "Pulangkanlah semula, itu duit haji,” rayu anak pembantu am kepada individu yang mengambil duit bapanya selepas tertinggal di dalam mesin deposit tunai (CDM) sebuah bank di Jalan Pintu Pong, minggu lalu. Iman Bukhari Omar, 25, berkata, wang tunai berjumlah RM4,900 itu adalah duit gaji yang dikumpul bapanya selama setahun untuk menunaikan haji. Menurutnya, kejadian berlaku pada 6 Ogos lalu ketika bapanya, Omar Md Nor, 45, cuba memasukkan sejumlah RM5,000 ke akaunnya bagaimanapun sekeping wang kertas bernilai RM100 gagal diproses walaupun dicuba beberapa kali. "Ayah ambil wang RM100 itu dan sangka RM4,900 lagi sudah selesai dideposit. Dia tinggalkan bank kerana beranggapan duit berkenaan sudah selamat masuk ke dalam akaun. “Keesokan harinya, ayah periksa akaun tapi duit berkenaan tiada. Pihak bank juga mengesahkan tiada sejumlah wang itu didepositkan ke dalam akaun ayah dan pemeriksaan kamera litar tertutup bank menunjukkan individu yang beratur di belakang ayah yang mengambilnya,” katanya. Iman Bukhari berkata, mereka sekeluarga tidak marah pada individu terbabit sebaliknya meminta supaya duit tersebut dikembalikan dan boleh dibuat melalui akaun Maybank Omar Md Nor, 153010402575 atau menghubunginya di 013 966 7567. “Harapnya masih ada rezeki, ada tu maksudnya adalah, kalau tidak ada kami reda. Mungkin adalah salah kami di mana-mana,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubungan kejadian tersebut. Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. -Sinar Harian