PETALING JAYA: Tiada apa yang lebih membahagiakan guru muda ini selain dapat mencurahkan bakti kepada anak muridnya secara percuma. Posting guru yang berasal dari Negeri Sembilan itu tular di Twitter dan berjaya menyentuh hati netizen. "Pusat tuisyen percuma untuk golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal, anak-anak yatim dan kekurangan buku. "Kalau anda nak sumbang RM1 atau apa-apa sahaja boleh... cikgu sangat hargai, mohon sebarkan," tulis guru berusia 27 tahun itu pada posting tersebut. Tweet itu meraih 16,063 ulang kicau dan mendapat 6,350 tanda suka sejak ia dimuat naik pada Ahad. Siapa sangka kesungguhan Ummar Muhammad Hanip untuk membuka pusat tuisyen sendiri menggunakan wang simpanan yang dikumpul selama setahun akhirnya terlaksana juga. Keadaan di dalam kelas Pusat Tuisyen Cikgu Ummar. Ummar mengeluarkan sebanyak RM7,000 dari poketnya untuk merealisasikan impian ini sejak dari alam universiti lagi. Namun, cabaran utama guru dari sekolah antarabangsa swasta itu adalah mencari murid yang ingin menyertai kelas tuisyen percuma tersebut. Katanya, rata-rata pelajar yang tinggal di kawasan berhampiran Semenyih berasa rendah diri dan segan untuk mengikuti kelas tersebut kerana enggan dipandang rendah oleh rakan sebaya mereka. "Susah bila saya nak dapatkan budak-budak yang datang daripada latar belakang kurang berkemampuan kerana mereka sangat malu. "Cara saya, saya pergilah sekolah-sekolah berhampiran, jumpa cikgu mereka dan minta nama dan sebagainya. Kemudian dekati mereka secara peribadi," kata graduan ijazah sarjana muda Pendidikan Ekonomi dan Matematik dari Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) itu ketika dihubungi mStar Online pada Rabu. Menurut Ummar, sebelum ini dia menjalankan kelas tuisyen tersebut di rumahnya sejak awal tahun ini. Ummar merupakan seorang guru di Sekolah Antarabangsa Tenby Setia EcoHill. Memiliki empat orang kakak yang juga bergelar pendidik memberikan Ummar semangat untuk mencurahkan ilmu kepada anak bangsa dan saling bertukar pandangan tentang teknik pembelajaran dan pengajaran yang berkesan. Biarpun menjalankan Pusat Tuisyen Cikgu Umar itu secara percuma, anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, dia lebih memerlukan sumbangan berbentuk buku dan alat tulis berbanding bantuan kewangan. Buat masa ini, hanya Ummar yang menjadi tenaga pengajar di pusat tuisyen yang terletak di Bandar Rinching Seksyen 4, Semenyih itu dan sudah mempunyai seramai 14 pelajar. "Saya mengajar subjek matematik, matematik tambahan dan sejarah di sini, sementara di sekolah antarabangsa pula subjek pengajian perniagaan dan ekonomi. "Selepas kelas mula diadakan pada awal bulan ini, ada rakan sekerja menunjukkan minat untuk turut mengajar secara percuma di sini," kata Ummar.