suria

Pasangan warga emas ditemui meninggal dalam rumah

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri warga emas ditemukan meninggal dunia di rumah mereka di Jalan Kenari, Felda Tenggaroh 3, Jemaluang, dekat Mersing, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Supt Cyril Edward Nuing berkata, mayat A Wahab Yusof, 72, dan Nilam Ibrahim, 70, dijumpai kira-kira 11.50 malam tadi oleh anggota Balai Polis Sungai Ambat, Mersing, yang memecah masuk rumah tersebut.

"Terdahulu, polis menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan terdapat bau busuk yang kuat dari dalam rumah pasangan terbabit.

"Polis yang tiba di tempat kejadian kira-kira 11.50 malam, kemudian bertindak memecah masuk rumah tersebut lalu menemukan mayat pasangan itu yang berpakaian lengkap dalam keadaan membusuk," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata mayat Nilam berada di atas katil manakala mayat A Wahab yang mula reput dan berair pula terbaring di atas lantai bersebelahan katil tersebut.

Katanya siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah boleh dikaitkan dengan kematian pasangan itu, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Mayat mereka dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat dan kematian itu setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
- BERNAMA

warga emas

Artikel Lain