KOTA BHARU: Pembantu am yang wang miliknya sebanyak RM4,900 yang gagal didepositkan ketika berurusan di mesin deposit tunai sebuah bank di sini baru-baru ini, bersyukur apabila wang itu dikembalikan semula kepadanya pada Rabu oleh lelaki yang mengambil wang itu. Omar Mohd Nor, 45, berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu menghubunginya pada pukul 12 tengah hari semalam setelah rayuannya disiarkan pihak media. Lelaki itu berbuat demikian selepas perkara itu disiarkan akhbar dan tular di media sosial selain wajahnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) bank itu, katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.Omar dari kampung Kedai Buloh di sini, berkata kejadian berlaku pada 10.20 pagi 6 Ogos lepas ketika beliau cuba memasukkan sejumlah RM5,000 ke akaunnya bagaimanapun sekeping wang kertas bernilai RM100 gagal diproses. Selepas mengambil wang RM100 itu dan menyangka RM4,900 lagi sudah selesai dideposit, beliau beredar tanpa menyedari proses transaksi itu belum selesai kerana kealpaannya tidak meneruskan arahan berikutnya yang tertera pada skrin mesin deposit berkenaan, katanya. Beliau menyedari wang itu gagal didepositnya selepas memeriksa akaunnya pada keesokan hari dan pihak bank juga mengesahkan tiada sejumlah wang itu didepositkan dan mengesyaki wang itu mungkin diambil oleh individu yang berada di belakangnya ketika beratur untuk menggunakan mesin itu.- Bernama