suria

Simpan 34,700 batang rokok seludup, peniaga dipenjara

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga makanan ringan dipenjara tiga hari dan didenda RM29,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana  menyimpan 34,700 batang rokok seludup bernilai RM2,756.52, Isnin lepas.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Zaikimi Abdullah, 48, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan tertuduh juga diperintahkan menjalani hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda.

Bapa dua anak itu didakwa menyimpan 34,700 batang rokok putih dan rokok kretek yang mana barang itu adalah dilarang import mengikut Perintah Kastam, di gerai tepi jalan, Jalan 3/125, Taman Desa Petaling, di sini pukul 11.30 pagi pada 13 Ogos lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1) (iii) (aa) akta sama yang membawa hukuman denda minimum 10 kali nilai barang (RM27,565.20) dan denda maksimum 20 kali nilai barang (RM55,130.40) atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur R. Alagendra memohon hukuman setimpal supaya kesalahan sama tidak berulang namun Muhammad Zaikimi yang diwakili peguam P. Suthes memohon hukuman ringan dengan alasan ia adalah kesalahan pertama tertuduh selain memohon maaf atas perbuatannya itu.

"Anak guam saya juga kesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang. Dia juga menghidap pelbagai penyakit antaranya penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolestrol," katanya.-- Bernama

kretek, Zaikimi

Artikel Lain