suria

"Berhati-hati dengan pencuri dalam pesawat" - Faiz

Foto: Facebook Faiz Mokhtar

PETALING JAYA: Berhati-hati dengan pencuri dalam pesawat, walaupun berada dalam Kelas Perniagaan.

Amaran itu diberi oleh seorang pengguna Facebook Faiz Mokhtar yang berdepan dengan situasi itu apabila barang-barangnya nyaris dicuri oleh penumpang lain ketika penerbangan balik ke Kuala Lumpur dari Ho Chi Minh menaiki Malaysia Airlines pada Rabu lalu.

Jelas Faiz, salah seorang rakannya menyedari ada penumpang lain mengambil beg komputer riba dari kabin barang di bahagian atas tempat duduknya.

"Rakan saya menyuruh periksa beg, dan betul ia telah hilang.

"Saya terus ke tempat duduk seorang lelaki dan menemui beg dan di sebelah tangan kirinya memegang beberapa keping mata wang asing (Euro dan USD), dan dia seperti ingin menyimpan dalam poketnya," jelas Faiz di laman Facebook miliknya pada Sabtu.

Menurut Faiz, dia dan rakan perniagaannya terus bertemu dengan suspek itu.

Apa yang merisaukan Faiz sekiranya dokumen perjalanan telah diambil atau terdapat cubaan memasukkan sebarang dadah dalam begnya.

"Apabila kami memberitahu kepada anak kapal yang bertugas, tindakan terus diambil.

"Suspek terus turun dari pesawat selepas menghubungi pengawal keselamatan dan polis," jelasnya.

Faiz juga turut berterima kasih kepada MAS dan krew yang sangat profesional dalam menangani situasi itu dan menenangkan penumpang-penumpang lain.

"Saya berterima kasih dan hormat kepada Ketua Pramugari, Cik Mazlinda yang menunjukkan sikap tenang dan mengawal situasi dengan baik serta mengambil tindakan wajar terhadap lelaki tersebut," jelas.

Tambah Faiz, dia diberitahu bahawa kes kecurian seperti itu merupakan satu sindiket yang berlaku dalam penerbangan China, Hong Kong dan Vietnam.

"Jadi semua, tolong berhati-hati dengan barangan sendiri...dan kalau boleh biarlah perjalanan berkumpulan," tulis Faiz.

"Jenayah ada di mana-mana, walaupun di udara, dan sudah pasti mereka mampu membayar Kelas Perniagaan!."

MAS, pencuri

Artikel Lain