KUANTAN: Hamid Mohd Ismail, mangsa ragutan buaya di Jeti Sungai Kuantan di sini Jumaat lalu mendakwa dia terpaksa bergelut kira-kira 20 minit dengan reptilia itu sebelum berjaya menyelamatkan diri. Lelaki berusia 42 tahun itu berkata kejadian yang cukup mencemaskan itu pada pukul 4 pagi berlaku semasa dia menceduk air keluar dari bot miliknya untuk turun ke laut seorang diri. Katanya, dengan tiba-tiba dia terasa tangan kirinya seperti disambar sesuatu sebelum dirinya ditarik ke dalam sungai. "Saya meronta-ronta dalam usaha melepaskan diri tapi ini hanya menyebabkan buaya itu bertindak lebih ganas dengan menggigit pipi, dada dan belakang badan... entah bagaimana saya dapat melepaskan diri," katanya pada Isnin. Hamid menceritakan detik-detik cemas itu semasa menerima lawatan empat pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini di mana beliau sedang menjalani rawatan. Perhilitan mengambil kenyataannya selama hampir dua jam. Turut melawat mangsa ialah Pengarah Perhilitan Pahang Ahmad Azhar Mohammed. Hamid yang menetap di Kuala Pahang, Pekan berkata selepas menyelamatkan diri beliau segera ke HTAA dengan menunggang motosikal. Beliau bersyukur kerana dapat 'sampai sebelum rebah di hadapan unit kecemasan hospital berkenaan dalam keadaan berlumuran darah'. Sementara itu, Ahmad Azhar berkata pegawainya terpaksa melakonkan kejadian untuk mengambil kenyataan mangsa memandangkan kecederaan teruk yang dialaminya menyebabkannya sukar bercakap. "Mangsa yang mengalami kecederaan teruk di bahagian pipi dan mulut lebih banyak menggeleng dan mengangguk untuk menceritakan kejadian itu. "Mangsa faham dengan apa yang dilakonkan pegawai Perhilitan dan daripada ceritanya, sah dia disambar buaya... bukan ditetak atau dipukul seperti yang tular di media sosial," katanya. -- Bernama