SHAH ALAM: Calon yang bertanding pada pemilihan PKR diingatkan supaya tidak mengguna taktik kotor untuk menyerang antara satu sama lain bagi memenangi sebarang jawatan sepanjang tempoh berkempen. Menteri Besar, Amirudin Shari berkata taktik itu tidak akan mendatangkan sebarang keuntungan kerana ia pasti akan ditolak oleh anggota di peringkat akar umbi. “Jangan buat serangan peribadi kita lihat ada yang buat tuduhan liar yang tidak dapat dibuktikan, jika ada bukti pasti kita terima tetapi ini memang tidak ada bukti. “Seharusnya apabila ada pemilihan, masing-masing (anggota bertanding) perlu sediakan program untuk perkasakan parti, bukan buat tindakan sebegini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan dan Pelancaran Kempen Jalur Gemilang 2018 peringkat Selangor di sini, Isnin. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa pihak dalam PKR yang mengeluarkan kenyataan tidak berasas dalam usaha memenangi pemilihan parti itu. Amirudin, yang juga calon anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, menyeru mana-mana calon yang diserang dengan pelbagai tuduhan sepanjang proses pemilihan parti itu supaya tampil membuat laporan kepada Lembaga Disiplin parti. "Siapa yang ada merasa terguris hati dengan sebarang tuduhan serta anggap ia adalah tuduhan salah, sila buat laporan. Parti tidak menghalang mana-mana individu yang dituduh dengan perkara tidak benar untuk membawa perkara terbabit kepada lembaga disiplin,” katanya. Mengenai kerjasama erat yang terjalin antara PAS dan Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, beliau mencadangkan kedua-dua parti itu bergabung supaya mampu bersaing secara bebas, adil dan baik dengan calon Pakatan Harapan (PH). Beliau bagaimanapun menghormati hak mana-mana parti untuk berkempen bagi pihak lain pada PRK itu. “Saya rasa dengan perkembangan terbaharu itu, Umno dan PAS sepatutnya bergabung menjadi satu barisan baru, barisan apa terpulanglah. "Apapun masing-masing mempunyai hak untuk berkempen bagi parti yang mereka mahu dan seharusnya tindakan itu dihormati,” katanya. Pada PRK yang diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas, calon PH, Halimey Abu Bakar bakal ditentang calon PAS Dr Halimah Ali dalam pertandingan satu lawan satu. - BERNAMA