suria

Menteri sahkan serbu kelab gay, mahu banteras gejala songsang

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengesahkan satu 'serbuan' dilancarkan ke atas sebuah kelab gay terkenal di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, serbuan yang dilakukan menerusi Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops Bah) siri ke-46, dilakukan sebagai satu usaha untuk membanteras budaya tidak sihat dalam kalangan rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam itu, Ops Bah itu diketuai Ketua Setiausaha, Kementerian Wilayah Datuk Seri Adnan  Md Ikshan.

"Selain itu operasi turut dilakukan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin dan PPR Sri Aman.

"Pihak Kerajaan sangat serius dalam membanteras pemahaman serta gejala songsang dan radikal ini. Semoga inisiatif yang diambil ini, dapat membendung budaya LGBT dari terus merebak ke dalam masyarakat kita," katanya yang dipetik menerusi kenyataan di Facebook beliau.

Baru-baru ini, sebuah kelab gay didakwa beroperasi lebih 30 tahun di Bukit Bintang, diserbu pihak berkuasa menerusi Ops Bah.

Sinar Harian melaporkan,  ketika serbuan, kira-kira 60 lelaki termasuk pengunjung dan pelayan, serta dua wanita merupakan pekerja berada dalam kelab itu.

Hasil pemeriksaan mendapati kelab berkenaan merupakan tumpuan pelancong asing dan warga tempatan.

Seramai 20 lelaki Melayu diberi notis kaunseling oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
gay, Khalid Samad, Op Bah

Artikel Lain