KUALA TERENGGANU: Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini memberi peluang kepada rakyat negara ini untuk menzahirkan rasa kecintaan dan semangat patriotik mereka pada negara dengan cara dan kreativiti masing-masing. Bagi Noor Hasliza Hassan, 33, beliau sanggup bersengkang mata mempelajari teknik membuat kek yang betul menerusi pelbagai cara termasuk media sosial seperti Facebook dan Youtube bagi menghasilkan kek Jalur Gemilang khusus untuk pelanggan yang menempahnya. “Selain dapat mengekspresikan rasa kecintaan terhadap negara menerusi penghasilan kek ini, saya dalam masa sama dapat mengasah bakat dalam pembuatan kek sebab selama tiga tahun ini belum pernah saya mencuba buat kek tema Jalur Gemilang. "Saya memang tidak pernah mengikuti mana-mana kelas membuat kek secara profesional sebelum ini, sebab membuat kek ini pada mulanya hanya sekadar hobi mengisi masa lapang sebagai suri rumah sepenuh masa. “Jadi untuk kek Jalur Gemilang ini saya buat kajian dan mohon tunjuk ajar daripada pakar cara membuat kek dengan betul, semuanya menerusi atas talian, Alhamdulillah meskipun rumit setakat ini usaha saya berjaya menghasilkan ukiran Jalur Gemilang yang saya inginkan,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Sungai Rengas di sini. Noor Hasliza yang mendapat galakan daripada suaminya, Abd Mubin Husin, 39, bagaimanapun mengakui perlu fokus dan teliti dalam menghasilkan kek berkenaan kerana jika tersilap sukatan atau terlebih ‘'pukul'' adunan, kek tidak akan menjadi atau ‘bantat'. “Sebagai contoh saya memerlukan kira-kira lima jam untuk menghasilkan sebiji kek kerana krim pelbagai warna yang digunakan sebagai bahan dalam kek perlu dipukul dalam tempoh yang ditetapkan, tidak boleh berhenti atau sambung semula, ini akan merosakkan tekstur krim itu dan kek tidak akan menjadi,” kata ibu kepada tiga orang anak antara tiga hingga 10 tahun. Beliau yang berkarya di dapur kecil miliknya itu setiap hari turut menghasilkan brownies, kek cawan dan dadih untuk jualan harian. "Sesiapa yang berminat boleh mendapatkan kek Jalur Gemilang buatannya dalam lingkungan RM65 hingga RM70 untuk sebiji kek seberat kira-kira 1.3 kilogram. "Tempahan kek atau kek cawan untuk sambutan Hari Kebangsaan juga dibuka hingga 31 Ogos ini dan hubungi saya di 011-25592276 untuk sebarang tempahan," katanya.-- Bernama