suria

“Ayah 'ketegaq' nak juga berniaga, takkan saya nak ikat kaki dia” – anak tampil perjelas video pakcik OKU jual kerepek

PETALING JAYA: Video yang tular di laman sosial menunjukkan seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) sedang memaut pada alat bantuan berjalan (walker), sambil berjalan bersendirian menjual kerepek bukan sahaja mengundang simpati, tetapi dalam masa sama mencetuskan kemarahan netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Sayu...nak raya, pakcik OKU dihantar anak jual kerepek nyaris tersembam

Dalam keadaannya yang uzur dan sukar berjalan, pakcik itu dikatakan dihantar anaknya untuk berniaga di pekan Jitra, Kedah, sekali gus menyebabkan netizen termasuk individu yang berkongsi video tersebut menyifatkannya sebagai tindakan yang amat tidak wajar.

Anak kepada peniaga kerepek berkenaan kemudian tampil mendedahkan perkara sebenar berhubung video yang tular susulan dirinya dikecam hebat di media sosial.

Aisyah Sudin, 22, ketika dihubungi mStar Online berkata, OKU warga emas di dalam video yang dikongsikan pada malam Selasa lalu adalah bapa tirinya, Azmi Che, seorang peniaga kerepek dan kuih.

“Itu memang bapa tiri saya, dan wanita yang dirakam dari jarak jauh tu adalah saya bersama seorang rakan. Memang ayah saya berniaga kerepek dan kuih.

“Ayah dah lama berniaga sejak bersama arwah ibu lebih 10 tahun. Jadi, berniaga tu memang dia yang nak, bukan saya yang paksa.

“Dah nasihat pun ayah masih ketegaq (bermaksud degil dalam loghat utara), takkan saya kena ikat kaki dia,” katanya ketika dihubungi, Khamis.

Anak keempat daripada enam beradik itu turut mengakui bahawa bapanya kini dalam keadaan uzur berikutan demam kepialu yang dihidapinya kira-kira 30 tahun lalu.

Aisyah yang berhenti bekerja di kantin sekolah bagi menjaga bapanya yang tinggal di rumahnya sejak Jun lalu memberitahu, dia pernah menasihatkan bapanya itu supaya tidak lagi berniaga atas faktor kesihatan, tetapi bapanya tetap berkeras untuk berniaga dan sebagai anak, dia perlu mengikut kemahuan itu.

“Kalau saya tak hantar (pergi berniaga), dia akan minta tolong kawan-kawan dia hantarkan. Saya risau pula kalau nanti dia seorang kat tepi jalan.

“Jadi, saya kena hantar dia ke tempat yang dia nak berniaga, lebih selamat dan mudah saya tahu pergerakan dia di mana-mana,” katanya yang menetap bersama bapa dan suaminya yang merupakan penoreh getah di Padang Sera, Kodiang, Kedah.

Selain itu, jelas Aisyah, bapanya yang merupakan pemegang kad OKU tidak mahu diikut semasa berniaga, menyebabkan dia terpaksa memantau bapanya dari jarak tertentu.

“Dalam video yang tular tu sebenarnya ayah saya belum mula berniaga. Dia nak duduk di meja di gerai. Jadi, saya pergi ke kedai sebentar.

“Kalau hendak diikutkan, saya memang pantau dari dekat bagi membuatkan ayah selesa dan demi keselamatan ayah,” katanya sambil menambah bapanya menerima bantuan kira-kira RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, pakcik berkenaan, Azmi Che yang berusia 62 tahun mengakui tindakannya yang berniaga bersendirian itu adalah kemahuan sendiri dan bukannya atas paksaan anak-anak.

“Saya memang suka berniaga, macam-macam saya dah berniaga dulu. Jadi, saya bosan kalau duduk saja kat rumah tak buat apa-apa. 

“Lebih baik saya keluar pergi menjual. Memang saya lebih selesa berniaga sendiri, tak nak anak mengikut saya ke sana sini,” katanya.

Kisah mengenai pakcik Azmi tular selepas dua video mengenainya dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook pada malam Selasa, menjelang Hari Raya Aidiladha.

Dalam pada itu, Aisyah meminta supaya pengguna Facebook yang memuat naik video tersebut sehingga tular supaya memadamkannya di laman sosial.

“Video-video tersebut mengaibkan saya sebagai anak. Dia tak tahu cerita sebenar, sehingga netizen kecam saya macam-macam. Saya minta dia untuk berjumpa dengan saya bagi mendapatkan penjelasan daripada saya sendiri,” katanya.

Artikel Lain