suria

Awas! jaga pemakaian, pelancong dinasihat waspada sensitiviti budaya di Sabah

KOTA KINABALU: Pelancong diingatkan supaya berpakaian dan berkelakuan sopan semasa melawat Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri itu, Christina Liew berkata Sabah sentiasa mengalu-alukan pelancong ke negeri yang terkenal dengan kecantikan alam semulajadi tetapi pada masa sama mereka harus berhati-hati dengan apa yang dipakai.

Menurut Liew, beliau memahami pelancong mahu berasa selesa semasa bercuti tetapi mereka perlu waspada dengan sensitiviti budaya masyarakat di negeri itu.

"Kami berharap pelancong boleh memahami perkara ini dan tidak berjalan di tempat terbuka dengan hanya berseluar dalam," katanya mengulas gambar seorang wanita memakai seluar dalam bikini dan berbaju kemeja-T lengan panjang merah jambu di pusat bandar yang tular di media sosial baru-baru ini.

Liew berkata pemandu pelancong juga perlu mengingatkan pelancong mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di Sabah.

"Beberapa garis panduan adalah berdasarkan logik akal.

"Mereka sudah dewasa," katanya.

Gambar wanita berpakaian tidak senonoh dekat kompleks Asia City di Kota Kinabalu yang tular di media sosial baru-baru ini menjadi bualan ramai.

Ramai yang mempersoalkan adakah wanita berkenaan, yang dipercayai warga asing, berpakaian sedemikian kerana cuaca panas di Sabah sejak beberapa minggu lalu, dengan suhu purata mencecah antara 34 dan 35 darjah Celsius setiap hari.

Orang ramai berkongsi gambar-gambar wanita itu menerusi aplikasi WhatsApp, dengan kebanyakan lelaki memberi komen "kehangatan" wanita itu membuatkan mereka untuk memesan segelas lagi air berais untuk "sejuk".

Sabah, bikini

Artikel Lain