KOTA BHARU: Penduduk di Kampung Pasir Hor dikejutkan dengan kemunculan pocong di jalan pintas menghala ke Pasir Jelatang bawah jambatan kampung itu, Isnin malam. Pocong terbabit dengan mata berwarna merah bersandar di tepi simen jambatan disedari seorang pemuda pada jam 10.30 malam. Pemuda dikenali sebagai Nik Afnan berkata, dia yang sedang menaiki motosikal bersendirian melalui jalan itu untuk pulang ke rumahnya selepas selesai bermain badminton di gelanggang berhampiran. “Mula-mula ternampak pocong itu saya sangat terkejut hingga hampir terjatuh dari motosikal. Saya kemudian memecut motosikal ke arah pondok KRT (Kawasan Rukun Tetangga) untuk meminta pertolongan penduduk kampung. “Sebaik tiba di pondok KRT, saya memaklumkan perkara itu dan penduduk yang sedang berkawal pada malam itu kemudian bergegas semula ke tempat pocong ditemui,” katanya. Katanya, sebaik mereka sekumpulan hampir 10 orang pergi ke kawasan itu semula mendapati pocong itu bukan tulen, sebaliknya adalah kayu yang dibalut dengan kain berwarna putih dan diikat tali serta diwarnakan cat merah pada mata menyerupai pocong. “Selepas tahu pocong itu hanya mainan 'budak nakal', kami membakar patung itu bagi mengelak orang ramai takut untuk melalui kawasan ini,” katanya.