PETALING JAYA: Pernahkah anda bayangkan segala detik-detik manis majlis perkahwinan yang dirakam dalam bentuk foto dan video hilang tanpa jejak dan mungkin tidak akan ditemui kembali sampai bila-bila? Begitulah mimpi ngeri yang dihadapi seorang juruvideo apabila dua komputer riba dan tiga pemacu keras (hard disk) yang mengandungi rakaman majlis perkahwinan beberapa pelanggannya hilang pada Khamis petang. Ia bukan sahaja memberi kegusaran terhadap dirinya malah lebih teruk, dia juga harus memikirkan perasaan beberapa pasangan pengantin yang berharap untuk menatap semula visual hari bersejarah mereka tempoh hari. Bercerita kepada mStar Online, Ahmad Athoillah Abd Rahim, 26, mengakui terduduk dan mengalirkan air mata saat menyedari kehilangan barangan tersebut. "Masa tu sekitar 3 petang, saya tinggalkan barang tersebut dalam but kereta untuk ke kedai. Dalam masa 15 minit macam tu je. "Tapi saya sedar mengenai kehilangan barang itu sejurus tiba di kediaman saya di Shah Alam sekitar 5 petang. Memang rasa down gila, rasa macam jatuh teruk pada masa tu," ujarnya pada Jumaat. Paparan skrin tweet Atoi yang menerima lebih 4,000 ulang kicau (retweet). Dia yang mesra disapa dengan panggilan Atoi menganggarkan item-item tersebut bernilai lebih kurang RM5,000. Tambah Atoi, dia tidak kisah jika mereka yang mengambil barangan tersebut tidak mahu memulangkannya kembali kerana apa yang penting hanyalah rakaman majlis pelanggannya di dalam pemacu keras tersebut. "Ia melibatkan beberapa pasangan pengantin. Saya sudah hubungi dua orang, selebihnya saya akan hubungi selepas ini. "Namun tidaklah 100 peratus rakaman itu hilang sebab saya juga ada pembantu yang membuat rakaman menggunakan kamera mereka," katanya. Menerusi tweet yang dimuat naik pada Khamis, Atoi merayu kepada pengguna Twitter supaya menyebarkan maklumat mengenai kehilangan tersebut. Selain menyenaraikan beberapa item yang hilang, dia turut memaparkan nombor telefon miliknya bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai kehilangan tersebut. Ia ternyata mengundang simpati netizen dan menerima lebih 4,000 ulang kicau (Retweet). "Aku tak tahu nak cakap. Sebab aku pernah rasa benda ni. Bukan wedding tapi fashion and product. Allah nak bagi rezeki lebih. Hope everything gonna be ok," tulis @adhamtroese. "Oh gosh, hope you find back your stuffs (harap anda temui semula barangan yang hilang itu)," tulis seorang lagi pengguna Twitter. Dalam pada itu, sebagai solusi jika tidak berjaya mendapatkan semula rakaman tersebut, Atoi bersedia untuk membiayai rakaman semula (post wedding) untuk pelangganya. Jika mereka tidak bersetuju dengan tawaran tersebut, Atoi bakal membayar semula wang yang telah dilunaskan oleh pasangan pengantin terlibat sebelum ini. Atoi turut membuat laporan polis sejurus menyedari kehilangan itu dan berpesan agar juruvideo serta jurufoto di luar sana lebih berhati-hati agar tidak mengalami nasib sepertinya.