suria

Anwar dedah kisah seteru dengan Tun M

Anwar berucap pada majlis penutup Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 bertemakan Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perseteruan beliau dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah tercetus sebelum ini sebagai yang paling sengit dalam sejarah negara.

Namun katanya, takdir menemukan mereka semula dengan satu hasrat iaitu untuk menyelamatkan negara daripada keruntuhan.

“Sejarah menunjukkan perseteruan saya dengan Tun Mahathir paling sengit tetapi Allah takdirkan kita muafakat semula untuk kepentingan negara.

“Saya bersyukur walaupun deritanya lama. Kalau saya nyanyi di penjara semua lagu-lagu derita.. lagu kegemaran termasuk ‘Release Me’,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan penutupan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengimbau tarikh 2 September 1998,  genap 20 tahun beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu, Anwar berkata beliau belum membuat keputusan mengenai kerusi Parlimen yang akan ditandingi beliau dalam pilihan raya kecil (PRK).

Namun, beliau dijangka melakukan kemunculan semula sebelum sidang Parlimen pada Oktober ini.

“Saya dah bagi tahu Perdana Menteri saya nak tumpu urusan pembaharuan Parlimen... jadi harapnya sebelum sidang Parlimen Oktober ini.. mungkin sebelum Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) bentang RMK agaknya,” katanya, sambil menambah ada empat kawasan cadangan yang akan dipertimbangkan.

Mengulas tindakan anaknya yang juga Naib Presiden PKR Nurul Izzah yang membantah pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baharu rundingan damai selatan Thailand, Anwar berkata beliau bebas menyuarakan pendapat.

“Dia muda masa tu dan kesan ayahnya dipukul setengah mati masa tu tentu beri kesan. Ia tak mudah. Ada orang kata ini soal personal tetapi tidak, ini bukan soal personal.

“Kalau anak anda dipukul setengah mati boleh anda jawab soal personal?,” katanya.

Sebelum ini, Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh turut menyifatkan Rahim sebagai seorang penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan penutupan kongres itu, Anwar mengingatkan jemaah menteri untuk tidak mengulangi penyelewengan dan ketirisan yang berlaku dalam kerajaan terdahulu.

Katanya, sekarang adalah giliran pembangkang untuk memantau segala tindakan yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan.

“Jika serangan pembangkang itu tepat dan ada kecuaian menteri, saya akan turut serta dengan pembangkang untuk menyerang,” katanya. - BERNAMA

Anwar Ibrahim, Tun M, seteru

Artikel Lain